HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Ogos 2021

11 Ahli Parlimen Amanah hantar usul speaker Dewan Rakyat letak jawatan

Presiden Amanah Mohamad Sabu turut mencadangkan Mohamad Ariff Md 
Yusof dilantik semula sebagai speaker Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: Seramai 11 Ahli Parlimen Amanah menghantar usul untuk Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengosongkan jawatannya, hari ini.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu, berkata pihaknya menghantar usul mengikut Peraturan 4 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat supaya speaker meletakkan jawatan susulan tindakannya yang bercanggah sepanjang sidang khas pada 26 hingga 29 Julai lalu.

“Tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat sepanjang sidang khas adalah bercanggah dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 62 Perlembagaan Persekutuan.

“Tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu juga membelakang dan menafikan fungsi Raja Berperlembagaan dalam konteks prinsip asas sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad berkata, mereka turut mencadangkan Mohamad Ariff Md Yusof dilantik semula sebagai speaker Dewan Rakyat.

Pada 13 Julai lalu, Azhar yang juga bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilantik menggantikan Ariff, selepas hanya satu nama sahaja diusulkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, sebagai speaker Dewan Rakyat baharu.

Pelantikan Azhar ketika itu mencetuskan kekecohan dalam kalangan pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) kerana tiada pengundian dibuat bagi membuktikan keabsahannya.

Tiada ulasan: