HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Ogos 2021

Ahli Parlimen atas papan catur

Ustaz Sharipudin Abdul Kadir

Tak mustahil ada yang ajak kuasa luar kukuhkan kedudukan mereka

NEGARA Malaysia dan rakyatnya akan melalui beberapa pusingan lagi sebelum sampai ke garisan penamat. Ibarat larian rentas desa yang akan melalui beberapa check point sebelum tamat.

Lantikan PM interim sebagai caretaker bukannya penamat kepada kemelut politik yang berlaku. Laluan seterusnya akan melibatkan aktor-aktor pelari utama untuk capai impian masing-masing.

Sebelum peristiwa hari ini, pertembungan secara zahir berlaku antara kerajaan dan kumpulan pembangkang dari pelbagai kumpulan. Selepas ini akan berlaku pertarungan yang lebih hebat antara semua kumpulan yang ada. Secara jelas ada dua tiga orang calon yang akan bertarung untuk merebut satu kerusi utama negara iaitu jawatan Perdana Menteri.

Calon-calon tersebut sedang ligat mengatur strategi untuk merebut jawatan itu. Yang penting perlu sedar dan insaf, pertembungan musim ini tidak sama dengan pertembungan semasa PRU. Semasa PRU calon memburu sokongan dari rakyat sebagai pengundi yang menentukan kemenangan mereka.

Pertembungan musim ini rakyat tidak ada dalam perkiraan mereka. Yang menentukan nasib mereka adalah ahli-ahli Parlimen yang ada. Sebab itu aktor-aktor politik ini tidak kisah jerit pekik rakyat dalam kesempitan kerana rakyat tidak dapat menggugat mereka. Apa-apa tindakan mereka, rakyat tidak dapat menggugat kedudukan mereka. Anggota Parlimen seramai 222 orang menentukan mereka bukan rakyat.

Kita tunggu dan lihat, apa aksi aktor politik bermula esok dan seterusnya. Peluang untuk mereka jadi Perdana Menteri masih ada jika mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen. Cara untuk mendapat sokongan ahli Parlimen mengikut strategi masing-masing. Yang penting kepentingan rakyat bukan lagi keutamaan mereka walaupun kadang-kadang ada kedengaran tetapi hanya sebagai perisa bicara.

Berkemungkinan ahli Parlimen telah berada di atas papan catur untuk pertembungan seterusnya. Pertembungan musim ini ianya tidak mustahil ada golongan mengajak kuasa luar untuk mengukuhkan mereka. Pemain sedang mengatur buah catur untuk pertembungan seterusnya.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara ini, perlu menginsafi kesilapan kita yang lalu ketika memilih wakil-wakil kita di Parlimen. Pilih mereka yang boleh menjaga kita secara khususnya sebelum PRU dan selepas PRU.

Apa yang berlaku sekarang ini, mereka bela rakyat ketika PRU kerana menagih undi. Selepas mereka menang dalam PRU, rupanya mereka hanya membela kehidupan mereka sahaja. Bagaimana untuk kekalkan kedudukan mereka dan mengintai peluang mengumpul harta untuk kesenangan mereka.

Untuk akhirnya kita perlu berdoa kepada Allah Taala supaya kita diberi jalan keluar yang terbaik demi negara kita yang tercinta, mudah-mudahan YDPA diberi hidayah oleh Allah membuat keputusan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara.ISMA WEB

(*) Ustaz Sharipudin Abdul Kadir
Ketua Perhubungan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan

Tiada ulasan: