HALAMAN SANTAI

Rabu, 11 Ogos 2021

Ahmad Maslan beri bayangan jika Presiden UMNO jadi PM, krisis dalaman selesai


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin jika Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadi Perdana Menteri krisis dalaman akan selesai.

Krisis kemelut dalaman UMNO akan selesai apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diangkat menjadi Perdana Menteri (PM) baharu, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahli Parlimen (MP) Pontian itu berkata desakan supaya Zahid berundur tidak akan berbangkit sekiranya beliau menjadi PM dan kemelut yang timbul ketika ini kerana Presiden tidak lagi memegang jawatan tertinggi dalam kerajaan.

“Sebab utama (ada desakan itu) kerana beliau (Zahid) bukan Perdana Menteri. Dulu Presiden UMNO adalah Perdana Menteri, dari jauh lagi kalau jumpa angkat tangan, apabila dekat cium tangan. Jadi apabila Presiden bukan berjawatan tinggi ini berlaku.

“Kedua, kerana tuduhan macam-macam di mahkamah….kalau beliau bukan Zahid Hamidi (selaku Presiden UMNO), dia tidak dituduh sedemikian rupa,” beliau dipetik berkata.

Bagaimanapun, Ahmad yakin yakin kemelut dalaman Umno ketika ini tidak akan berpanjangan dan yakin sokongan MP UMNO kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya sementara.

“Ributan (sekarang) antara Ahli Parlimen yang masih bersama kerajaan PN dan yang sudah tarik sokongan daripada menyokong Muhyiddin, hanya sementara,” katanya lagi.

Berhubung tentangan daripada Ahli Parlimen UMNO yang ingkar dengan arahan supaya meletak jawatan, Ahmad mengingatkan mereka ramai calon yang berkelayakan boleh dipilih untuk menggantikan tempat mereka dalam pilihan raya umum akan datang.

“Di luar sana, ramai menunggu berbaris panjang untuk menggantikan mereka di kawasan masing-masing.

“Ahli Parlimen yang dilihat tak ikut perintah parti kena ingat yang menunggu berbaris panjang. (Parti) bukan tak ada tokoh (lain),” katanya lagi dipetik dalam laporan sebuah portal.

Ahmad juga menjelaskan surat tunjuk itu dikeluarkan mengikut prosedur parti dan sebagai “peringatan” kepada MP berkenaan bahawa keputusan dan perlembagaan UMNO patut dihormati semua.

“Saya hantar surat kepada mereka atas arahan pucuk pimpinan dan ada mengatakan surat itu (satu bentuk) ugutan. Ia bukan ugutan. Sebagai ahli parti, kita kena ikut keputusan parti, hormati apa yang diputuskan parti, termasuk perlembagaan UMNO.

“Kita tak ada hasrat pecat di sebalik langkah menghantar surat tunjuk sebab berkenaan,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: