Bernama
Mahkamah Persekutuan mendengar semula soalan perundangan Anwar pada 10 Sept tahun lepas. - Gambar fail
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara
(AMKN) 2016 adalah sah dan merupakan undang-undang berperlembagaan.
Dalam
keputusan majoriti 5-2 yang dicapai tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan
membuat keputusan untuk menjawab persoalan perundangan mengenai
keperlembagaan AMKN yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan
saman pemula yang difailkannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk
mencabar keperlembagaan AMKN.
Mahkamah
Tinggi sebelum ini membenarkan permohonan Anwar di bawah Seksyen 84
Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah
Persekutuan bagi menentukan empat persoalan perlembagaan.
Keputusan
majoriti dibacakan oleh Hakim Datuk Zaleha Yusof dan lain-lain anggota
panel hakim yang bersetuju dengan beliau adalah Hakim Datuk Zabariah
Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan
and Datuk Rhodzariah Bujang.
Zaleha
berkata AMKN adalah sah dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan
Persekutuan dan Dasar Keselamatan Negara, antaranya ia tidak menunjukkan
AMKN adalah undang-undang bagi menentang subversif.
"Dengan
jelas, ia bermaksud untuk merangkumi perlindungan dan keselamatan
rakyat terhadap keadaan seperti banjir, gempa bumi dan situasi lain
seperti pandemik COVID-19 pada masa ini. Mahkamah tidak boleh menutup
mata sebaliknya mengambil maklum dari segi perundangan magnitud dan
kesan pandemik COVID-19, semuanya kekal nyata dan memberi kesan kepada
keselamatan negara ini.
"Sudah pasti,
COVID-19 bukannya disebabkan tindakan atau ancaman tindakan subversif,
keganasan terancang, perbuatan dan jenayah yang memudaratkan orang awam
disebabkan sekumpulan orang yang terbesar, sama ada di dalam atau di
luar Persekutuan. Tiada bukti yang hampir boleh menyebabkan tindakan
diambil di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah tidak
boleh terlibat di dalam membuat spekulasi," kata beliau ketika
menyampaikan keputusan itu dalam aplikasi Zoom.
Hakim
Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang
berpendapat AMKN 2016 adalah tidak selari dengan perlembagaan dan tidak
sah kerana ia adalah satu undang-undang bagi menguruskan keselamatan
negara dan ketenteraman awam yang berpotensi menjejaskan hak asasi
seseorang seperti kebebasan diri, kebebasan bergerak, kebebasan bersuara
, berhimpun dan menubuhkan persatuan serta hak terhadap harta.
Ong
berkata mahkamah didorong kepada kesimpulan bahawa AMKN adalah satu
undang-undang keselamatan dengan kuasa seperti dalam darurat yang
melampaui semua empat hak asasi terutamanya yang secara spesifik
dibenarkan di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.
"Oleh
itu, AMKN adalah suatu akta yang termasuk dalam lingkungan Perkara 149
Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu saya membenarkan rayuan itu,"
katanya.
Ong kemudian mengarahkan kes itu didengar di Mahkamah Tinggi.
Mahkamah
Persekutuan mendengar semula soalan perundangan Anwar pada 10 Sept
tahun lepas dan membenarkan permohonan semakan semula Anwar untuk
mengetepikan satu keputusan majoriti pada 11 Feb yang enggan menjawab
soalan berperlembagaan mengenai kesahan AMKN.
Pada
11 Feb tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dengan
majoriti 5-2 menolak untuk mendengar soalan berperlembagaan yang
dibangkitkan Anwar mengenai AMKN dan menyatakan tidak pernah ditunjukkan
bahawa kewujudan AMKN telah menjejaskan kehidupan peribadi Anwar.
Sehubungan
itu Anwar memfailkan satu permohonan untuk menyemak semula keputusan 11
Feb itu dan mahkamah membenarkan permohonannya pada 10 Sept untuk
mengetepikan keputusan majoriti itu dan mengarahkan kes itu didengar
semula di Mahkamah Persekutuan.
Anwar
telah memfaikan saman pemula pada 2016 untuk mencabar keperlembagaan
AMKN dan mendakwa pelaksanaannya tidak mengikut perlembagaan. Beliau
menamakan Majlis Keselamatan Negara dan kerajaan selaku defendan.
Peguam
Kanan Persekutuan Suzana Atan dan S Narkunavathy mewakili Majlis
Keselamatan Negara dan Kerajaan Malaysia sementara Datuk Seri Gopal Sri
Ram dan J Leela mewakili Anwar.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan