HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 Ogos 2021

Azmin, Zuraida jadi tumpuan isu kerajaan tumbang

Oleh ASLINDA NASIR
MOHAMED AZMIN ALI

KUALA LUMPUR: Susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, tumpuan turut diberi kepada bekas pemimpin PKR yang membantu mengatur ‘Langkah Sheraton’ iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin.

Mereka yang juga terbabit dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mengupas lanjut mengenai kejatuhan kerajaan itu yang mampu bertahan 17 bulan, sebaliknya Mohamed Azmin hanya menjelaskan ekonomi negara semakin pulih walaupun rakyat menderita.

Beliau berkata demikian menerusi ciapannya di Twitter hari ini.

“Walaupun ekonomi pulih, banyak yang menderita selama wabak kejam ini menyerang dunia. Saya mohon maaf atas segala kekurangan saya. Ia adalah penghormatan kepada saya untuk berkhidmat kepada anda semua,” katanya selaku bekas menteri kanan yang memimpin Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam Kerajaan PN pimpinan Muhyiddin.

ZURAIDA KAMARUDDIN

Sementara itu, Zuraida yang menyandang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berterima kasih kerana diberi peluang selama dua tahun berkhidmat dalam Kabinet.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Muhyiddin Yassin atas jasa dan khidmat bakti menerajui negara selama hampir dua tahun. Kini, Tan Sri akan menerajui negara sebagai ‘caretaker’ PM pula bermula hari ini.

“Namun, Tan Sri tetap cekal dan komited mendukung negara dalam mendepani ujian mencabar ini. Moga keadaan bertambah baik untuk rakyat kita. Moga Tuhan lindungi Malaysia,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: