HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Ogos 2021

‘’Bagaimana saya mahu percaya Presiden macam ni’’ – Khairy

SEJAK menganggotai Kabinet lebih setahun lalu sebagai Menteri Sains dan Teknologi, Khairy Jamaluddin boleh dikatakan hampir tidak pernah bercakap soal politik.

Malah pada bulan lalu apabila ditanya oleh wartawan berhubung keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, Ahli Parlimen Rembau itu menjawab ringkas, ‘’saya tiada masa untuk politik.’’

Tetapi hari ini bekas Ketua Pemuda UMNO itu bagaikan melepaskan apa yang terpedam selama ini terhadap tingkah laku Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi apabila mendedahkan, beliau ‘ada masalah kepercayaan’ terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

‘’ Oktober lalu beliau utuskan satu surat kepada Yang di-Pertuan Agong  atas nama Presiden UMNO yang menyatakan semua ahli Parlimen beri sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

“Sedangkan saya tidak pernah dirujuk, ditanya oleh presiden, jauh sekali saya memberi kebenaran kepada presiden untuk menggunakan nama saya. Macam mana saya nak percaya presiden macam ni, ini yang pertama?,” katanya selepas mengadakan lawatan di Iskandar Malaysia Studio di Iskandar Puteri, Johor.

Beliau berkata, isu kedua ialah berkaitan rakaman audio antara Ahmad Zahid dengan Anwar yang tular.

‘’Apabila timbul rakaman perbualan dengan Ketua Pembangkang, namun Ahmad Zahid menafikannya dan maklum pula nak buat laporan polis. Bagaimanapun selepas itu beliau mengaku pula rakaman itu adalah tulen,’’ katanya.

Kini kata beliau, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mendakwa keputusan yang diumumkan baru-baru ini untuk menarik sokongan terhadap Kerajaan PN  dibuat secara sebulat suara dalam MKT sedangkan ahli Parlimen UMNO pula berbeza pandangan dengan ketetapan yang diputuskan.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, sehingga hari ini beliau masih menjalankan tanggungjawab sebagai menteri yang diamanahkan.

Katanya, beliau dan beberapa lagi Ahli Parlimen UMNO akan membuat pendirian pada sidang Parlimen pada September ini.

“Saya orang parti (UMNO) dan saya merayu kepada parti sehingga September undian akan menentukan keabsahan dan saya masih dengan UMNO, setia dengan UMNO, biarlah saya kerja vaksinasi ini. Bagi pihak UMNO juga, saya menteri UMNO. Selesai undi (menentukan keabsahan) nanti kita boleh buat keputusan apa seterusnya,” katanya.

Tiada ulasan: