HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Ogos 2021

Bukan boleh sekadar gimik dakwa kerajaan PN tumbang, kena buktikan

 

Presiden UMNO Zahid Hamidi pada sidang media.

Keabsahan sesebuah kerajaan hendaklah dilakukan dan dibuktikan menerusi saluran yang sah betul mengikut Perlembagaan Persekutuan, bukannya sekadar gimik semata-mata, demikian kata beberapa pakar Perlembagaan Negara.

Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (​UiTM), Mujibu Abd Muis berkata mana-mana pihak tidak boleh sekadar membuat gimik mengatakan telah memperoleh sokongan sebaliknya harus dibuktikan.

Katanya sebarang tindakan untuk mengubah kerajaan mesti dilakukan dalam Dewan Rakyat menerusi undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

“Selain itu, ia boleh juga dipersembahkan kepada Seri Paduka dengan bukti kukuh bagi tujuan yang sama.

“Kalau kedua perkara itu tidak berlaku, setakat ini kita andaikan yang kenyataan itu hanyalah gimik politik seperti mana berlaku sebelum ini.

“Malah jika dilihat perarakan pembangkang itu, ia menunjukkan mereka kukuh, tapi itu masih tidak membawa apa-apa implikasi apatah lagi untuk mengubah kerajaan,” katanya.

Pendapat sama diberikan pakar Perlembagaan, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain yang menyatakan pembangkang perlu membuktikan Perdana Menteri telah hilang sokongan ahli Dewan Rakyat sama ada di dalam atau di luar Parlimen.

Memetik Utusan, beliau berkata jika tidak dibuktikan maka kerajaan PN tidak tumbang meskipun Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim secara terbuka mendakwa pimpinan Muhyiddin telah hilang kepercayaan ahli Dewan Rakyat.

Anwar sebelum ini mendakwa kononnya kerajaan pimpinan Muhyiddin telah tumbang apabila terdapat Ahli Parlimen PN menarik sokongan kepada kerajaan hari ini di samping mengatakan blok pembangkang kini mempunyai sokongan 107 ahli Parlimen.

Beliau berkata, meskipun Anwar mendakwa kerajaan kini telah tumbang, ia tidak semudah itu untuk menukar kerajaan seperti mana dijelaskan dalam Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau menjelaskan, menerusi undang-undang itu, perkara pertama perlu dibuktikan adalah sama ada Perdana Menteri telah hilang kepercayaan ahli Dewan Rakyat dan beliau kemudian perlu meletakkan meletak jawatan jika perkara itu berlaku.

“Oleh demikian, adalah penting untuk dibuktikan sama ada Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti atau tidak. Seseorang ahli Parlimen atau pemimpin tidak boleh sewenang-wenangnya mendakwa beliau mempunyai cukup sokongan untuk membentuk kerajaan.

“Jika Agong berpuas hati Perdana Menteri hilang sokongan ahli Dewan, Perdana Menteri mempunyai dua pilihan iaitu meletakkan jawatan atau membubarkan Parlimen jika diperkenan Agong,” katanya.

Hari ini, Presiden UMNO Zahid Hamidi pula mendakwa kerajaan PN telah tumbang setelah UMNO menarik sokongan kepada gabungan itu.

Bagaimanapun ia hanya dilihat sebagai gimik dan ‘ugutan’ kerana kerajaan PN tidak melayan permintaan beberapa pemimpin tertinggi UMNO termasuk Zahid dan Najib Razak supaya ‘membantu’ mereka dalam kes jenayah yang dihadapi di mahkamah sekarang.

Tiada ulasan: