HALAMAN SANTAI

Rabu, 4 Ogos 2021

Pemimpin PAS masih bincang kemelut politik negara

KUALA LUMPUR: Pemimpin utama PAS masih berbincang dalam menetapkan pendirian parti terhadap kemelut politik negara susulan UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khirudin, berkata kenyataan rasmi membabitkan perkara itu akan dikeluarkan selepas perbincangan selesai.

"Kenyataan berkenaan akan dikeluarkan melalui Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) atau Timbalan (Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man) atau Setiausaha Agung (Datuk Seri Takiyuddin Hassan).

"Setakat ini, tiada kenyataan dikeluarkan berkaitan isu berbangkit, kita akan berbuat demikian selepas perbincangan pimpinan tertinggi parti," katanya kepada BH, hari ini

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan berkata UMNO memilih untuk mengambil pendirian berpihak kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah dan tidak akan mempertahankan kerajaan PN yang didakwa gagal di mata rakyat selaras Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO.

Rentetan itu, perjumpaan sebahagian menteri kanan Kabinet dan pegawai tertinggi kerajaan diadakan di kediaman Perdana Menteri dekat Bukit Damansara, di sini, selama empat jam berakhir jam 12.10 tengah malam tadi.

Antara dilihat hadir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun

Tiada ulasan: