HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 Ogos 2021

Calon PM baharu perlu dipilih dalam sidang Parlimen, wajarkah?


Parlimen Malaysia.

Perdana Menteri (PM) baharu boleh dipilih dalam sidang Parlimen bagi menentukan calon yang memiliki majoriti terbanyak untuk dilantik memegang jawatan tertinggi tersebut, ia memandangkan tidak ada mana-mana individu yang memiliki sokongan tertinggi ketika ini.

Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid, Felo Penyelidik Ilham Centre berkata mana-mana individu yang merasakan memiliki majoriti untuk menjadi PM perlu membuktikannya di Parlimen ia bagi mengelak krisis politik berulang-ulang berlaku lagi selepas ini.

“Jadi kalau bagi saya sebenarnya cara yang terbaik ialah bagaimana sesiapa sahaja yang hendak jadi Perdana Menteri pada masa ini seharusnya seharusnya mampu berbuat demikian di Parlimen jadi tidak memeranjatkan sekiranya persidangan khas Parlimen diadakan bagi memilih seorang Perdana Menteri,” katanya dipetik dalam wawancara di Astro Awani hari ini.

Jelasnya, langkah tersebut akan dapat mengurangkan beban Yang di-Pertuan Agong dalam menentukan PM baharu yang layak dilantik dengan memiliki majoriti tertinggi, jika tidak berkemungkinan isu berhubung majoriti juga akan kembali berbangkit selepas ini walaupun dengan lantikan PM baharu.

“Cuma permasalahannya adakah ia boleh dilakukan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan?

“Saya kira ia bergantung kepada kebijaksanaan Tuanku. Mungkin dilantik Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri semula sementara menunggu pelantikan baru seperti yang kita ketahui itu amalan yang dilakukan pertama kalinya apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

“Jadi saya percaya ia bukan lagi dibeban kepada Tuanku untuk membuktikan untuk membuktikan siapakah yang dapat majoriti undi tetapi ia boleh dikembalikan kepada wakil rakyat,” katanya lagi.

Untuk rekod, jika dilihat dari sudut parti politik, bukannya secara individu, jumlah yang menolak kepimpinan Muhyiddin sebanyak 120 MP. Namun perlu diingat bahawa daripada 120 MP itu masing-masing tidak menyokong antara satu sama lain.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan 91 kerusi, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendapat dukungan 15 M Ahli Parlimen (MP) UMNO, manakala kem Dr Mahathir dikatakan mempunyai 14 kerusi jika dicampur bersama parti Warisan. Ketiga-tiga kumpulan ini tidak menyokong antara satu sama lain.

Yang kekal menyokong Muhyiddin pula sebanyak 100 MP.

Diandaikan Muhyiddin meletak jawatan dan PM baharu dilantik, maka keabsahan PM baharu itu juga boleh dipertikaikan kerana sebelum ini pembangkang telah mempertikaikan keabsahan Muhyiddin sebagai PM.

Jadi, PM baharu itu mesti berani membawa usul undi percaya terhadapnya di Parlimen untuk membuktikan dia memperoleh sekurang-kurangnya 111 sokongan MP.

Tiada ulasan: