HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 Ogos 2021

Lepas DAP, PKR rayu sokong Anwar kini giliran AMANAH pula

Pakatan Harapan menanti Ketua mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ditabal Perdana Menteri.

Selepas rayuan Lim Kit Siang dan cubaan PKR memujuk bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali, bagi melayakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, kini giliran AMANAH pula membuat rayuan.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu dilihat merayu Ahli Parlimen (MP) yang menang atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu untuk kembali bersatu di bawah ‘khemah besar’.

“Saya menyeru kepada semua rakan-rakan Ahli Parlimen yang menang di atas tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihan raya yang lalu, kembali bersatu dibawah payung Pakatan Harapan agar mandat yang diberikan oleh oleh rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seperti juga kumpulan pemimpin dan 15 MP UMNO yang bertindak hingga menyebabkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang hari ini, pemimpin-pemimpin blok pembangkang kini bercakap dengan ‘lidah yang lembut’, apabila menjadikan kegetiran dan kesusahan hidup rakyat akibat Covid-19 sekarang ini sebagai alasan.

“Apa yang telah berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu,” katanya merujuk kepada tindakan MP yang keluar dari PH sebelum ini dan menyokong PN.

Dalam membuat rayuan itu Mohamad Sabu berkata dalam menghadapi situasi getir seperti ini, jiwa besar amat diperlukan kerana tidak ada yang benar-benar diharapkan oleh rakyat melainkan kesihatan dan ekonomi rakyat kembali pulih.

“Keutamaan kepada kita semua ketika ini untuk bekerjasama memulihkan kembali kesihatan dan ekonomi negara yang sangat parah,” katanya sedangkan sebelum ini blok pembangkang sibuk bermain politik untuk mengganggu-gugat kerajaan PN.

Katanya jika mandat rakyat dalam PRU14 lalu lalu dikembalikan dan institusi Parlimen dihidupkan, maka tidak ada sesiapa yang ketinggalan kerana peranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan Malaysia untuk keluar daripada kemelut kesihatan akibat Covid-19 ini dan kembali membina semula ekonomi negara.

Tiada ulasan: