HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Ogos 2021

Dua MP UMNO kem Zahid akur dengan titah Agong, tentukan keabsahan di Parlimen

AGENDA DAILY

Dua Ahli Parlimen UMNO dalam kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun sebelum ini bersama dalam kem Presiden UMNO yang menyokong keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), dua Ahli Parlimen (MP) UMNO yang bersama dalam kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan mereka akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

MP Tanjung Karang Tan Sri Noh Omar dan MP Baling Datuk Seri Azeez Rahim berkata akan menuruti titah Yang di-Pertuan Agong yang memperkenan keabsahan kerajaan PN dan kedudukan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu ditentukan di Parlimen pada September nanti.

“Setakat hari ini keputusan Yang di-Pertuan Agong ialah menyerahkan kepada Parlimen untuk membuat pengabsahan maka saya kena menjunjung titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” kata Noh semasa sidang media hari ini yang disiarkan secara maya.

Sementara itu, Azeez juga senada dengan Noh yang mengakui walaupun Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sudah membuat keputusan awal sebelum ini, beliau akur dengan titah tersebut dan akan menjalankan tanggungjawabnya apabila tiba masa di Parlimen nanti.

“Saya akan laksanakan tanggungjawab saya di Parlimen nanti bila dipanggil untuk mengabsahkan kedudukan kerajaan hari ini,” katanya dalam sidang media berlainan yang juga disiarkan secara maya dalam Facebook.

Tegas Noh, selagi tiada titah terbaharu Yang di-Pertuan Agong, beliau akan patuh dan menunggu sehingga tiba masa di Parlimen nanti akan membuat keputusan untuk sama ada menyokong kerajaan PN atau pun tidak.

Noh juga menafikan dakwaan kononnya mudah dibeli dan menegaskan sentiasa setia kepada parti serta akan patuh dengan arahan parti.

“Dan akhirnya saya ingin menafikan kalau ada dakwaan yang mengatakan saya ini mudah dibeli ataupun pendirian saya ini flip flop.

“Saya punya pendirian sebagai pemimpin UMNO, yang benar saya kata benar kalau tak benar saya kata tak benar. Inilah pendirian saya di mana juga sama ada dalam mesyuarat atau perbincangan,” ujarnya lagi.

Bagi Azeez, perkara yang menjadi keutamaan baginya sekarang adalah dalam menjaga kebajikan rakyat dan menggesa supaya pemimpin dalam UMNO tidak berpecah antara satu sama lain.

“Harapan saya selaku ahli Majlis Tertinggi seperti saya sebutkan saya ahli parti yang taat setia kepada keputusan parti.

“Apa jua keputusan parti adalah elok kita lakukannya bersama apa jua keputusan. Justeru, saya harap kita dapat semua ahli-ahli UMNO dapat rapatkan saf kepimpinan, rapatkan barisan,” katanya lagi.

Terdahulu awal hari ini dalam sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, seramai 31 MP BN termasuk Menteri dan Timbalan Menteri UMNO menyatakan sokongan kepada kerajaan PN yang dipimpin Muhyiddin.

Ia walaupun Zahid mendesak supaya Menteri dan Timbalan Menteri meletakkan jawatan mereka.

Tiada ulasan: