HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Ogos 2021

Henti politiking bantu kerajaan tangani wabak

Oleh NOR HAZWANI NOH
 

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di atas pemberian kelonggaran yang bermakna kepada rakyat.

Pada Ahad lepas, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) diberikan kepada penerima lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Kebenaran itu hanya terpakai buat penerima dos lengkap yang melepasi hari ke-14 daripada tarikh suntikan dos kedua (Vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac).

Manakala bagi penerima vaksin satu dos suntikan (Johnson & Johnson dan CanSino) perlu melepasi hari ke-28 daripada tarikh suntikan.

Kata Khairil, pengumuman itu pasti melegakan ramai termasuklah para peniaga dan juga keluarga di kampung.

“Alhamdulillah, Pelan Pemulihan Negara kita juga berada di landasan yang tepat untuk membawa kita semua keluar daripada kesan pandemik Covid-19 ini,” kata beliau dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.

Khairil yang juga Ketua Pemuda PAS Malaysia menyeru ahli-ahli politik yang 24 jam tanpa henti berpolitiking untuk berehat sementara dan memberi tumpuan, kerjasama kepada kerajaan dalam usaha mereka memulihkan negara.

“Kerjasama semua pihak dituntut untuk merealisasikan PPN ini, terutamanya pemimpin kerajaan dan pembangkang, jentera kerajaan, para usahawan dan pastinya diri kita sendiri.

“Jangan jadikan terma ‘political ceasefire‘ sebagai hanya omong kosong untuk mengaburi mata rakyat tetapi melakukan yang sebaliknya. Ingat! rakyat sedang memerhati,” katanya.

Tambahnya lagi, nikmatilah kelonggaran ini dengan sebaiknya dan teruskan mematuhi segala SOP yang ditetapkan oleh pihak MKN dan jadikan norma baharu kehidupan sebagai amalan. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: