HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Ogos 2021

PAS Sabah ingatkan rakyat sentiasa patuhi SOP

Oleh AIZAL SAMSARUDDIN

SANDAKAN: Ekoran peningkatan kes harian Covid-19 yang semakin membimbangkan di negeri ini, PAS Sabah mengingatkan semua rakyat agar sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP).

Perkara itu penting bagi mengelakkan kes meningkat ke tahap yang lebih serius dalam usaha membawa Sabah keluar daripada Fasa 2 ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Walaupun kerajaan telah memberi beberapa kelonggaran namun SOP tetap perlu dipatuhi,” kata Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Sahar Abdul Majid dalam satu kenyataan.

Ujarnya lagi selain menjaga SOP dan mematuhi arahan daripada pihak kerajaan, pihaknya turut mengajak semua rakyat agar sentiasa berdoa dan mendekatkan diri kepada Allah.

“Kami juga ingin mengajak semua rakyat untuk sama-sama kita memohon kepada Allah agar dipermudahkan kita dalam menghadapi pandemik ini dan semoga pandemik ini segera berakhir,” katanya.

Sahar yang juga Pengerusi Task Force Covid-19 PAS Sabah turut mengajak rakyat untuk berganding bahu bersama-sama agensi kerajaan untuk membendung penularan wabak itu.

Katanya, semua rakyat perlu berganding bahu bersama agensi kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani wabak itu.

“PAS Sabah yakin dan percaya dengan kebersamaan ini kita dapat mengharungi suasana ini untuk mencapai kejayaan pada masa akan datang sekali gus membawa negeri ke arah pemulihan ekonomi dan sosial.

“PAS Sabah sentiasa komitmen dan prihatin terhadap keadaan semasa Covid-19 di negeri ini dan juga akan menggerakkan jentera penerangan untuk memberi kesedaran kepada rakyat tentang kepentingan vaksinasi,” tambahnya. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: