HALAMAN SANTAI

Sabtu, 14 Ogos 2021

Jangan bagi peluang kleptokrat kembali berkuasa, kata Ali Biju


Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media bersama kem yang menyokongnya.

Jika cadangan kerjasama yang dilontar Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dipertimbangkan dengan sewajarnya, ia berkemungkinan kumpulan kleptokrat akan kembali berkuasa, kata Ahli Parlimen Saratok Datuk Ali Biju.

Ali menyifatkan cadangan tersebut adalah pembaharuan ke arah mewujudkan amalan politik yang matang dan menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan ketika krisis kesihatan sedang melanda negara.

“Pembaharuan ini adalah apa yang selama ini kita perjuangkan, ia sejak saya berada dalam Keadilan (PKR). Dengan sokongan dan kerjasama dua pihak, kita akan dapat melihat perjuangan politik kita akhirnya membuahkan hasil.

“Kepada rakan-rakan saya di blok pembangkang; ini adalah tawaran yang anda tunggu-tunggu dan tidak boleh tolak. Ini untuk masa depan negara kita. Cukuplah berpolitik dan bermain retorik. Sudah-sudahlah dengan kleptokrat,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu juga berkata sekiranya cadangan tersebut berjaya, ia akan membawa lanskap baharu politik negara khususnya kepada generasi masa depan.

“Kesan daripada pembaharuan ini akan sangat besar dan akan mengubah bukan sahaja lanskap politik masa kini tetapi untuk generasi yang akan datang untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa, agama atau fahaman politik,” katanya lagi.

Terdahulu, Muhyiddin berkata tujuh cadangan tersebut bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat menumpukan kepada usaha menangani krisis kesihatan negara dan tidak mahu kumpulan kleptokrat yang sedang merancang untuk menjatuhkannya kembali berkuasa.

Antara lain Perdana Menteri menjanjikan suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen, jika memperoleh sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga.

Beliau juga berkata kerajaan memberi jaminan akan memperkukuhkan reformasi Parlimen dengan memastikan jumlah MP Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

Muhyiddin dalam ucapannya juga menjemput semua pimpinan parti politik untuk bersama membincangkan cadangan tersebut dan sekiranya dipersetujui akan memanggil sidang khas untuk membentang usul undi percaya dengan segera.

Tiada ulasan: