HALAMAN SANTAI

Sabtu, 14 Ogos 2021

Sokongan rentas parti bukti Muhyiddin berjiwa besar

 Oleh Suzalina Halid

 Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin disifatkan seorang pemimpin berjiwa besar yang memikirkan soal kemajuan negara, bukannya kepentingan peribadi apabila mengemukakan cadangan kerjasama merentas parti untuk kestabilan negara.

Perdana Menteri hari ini mengumumkan cadangan kerjasama bipartisan itu bagi memastikan kerajaan sedia ada dapat terus berfungsi ketika pandemik COVID-19.

Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata semua pemimpin politik termasuk pembangkang perlu gunakan peluang keterbukaan pihak kerajaan untuk teguhkan kembali pentadbiran negara berasaskan sistem demokrasi Raja Berperlembagaan, mengangkat kedudukan bangsa Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya serta menyemarakkan Islam sebagai teras kepada perpaduan.

Dengan perkembangan terbaharu itu, PINTAR turut menggesa pemimpin parti politik untuk kembali memberikan tumpuan kepada kemaslahatan rakyat, bukannya berterusan melakukan gerakan politik untuk merampas kuasa dan mengganti Perdana Menteri.

"PINTAR menyatakan sokongan penuh terhadap inisiatif yang dimaklumkan Perdana Menteri untuk membuka kerjasama semua pihak dalam mewujudkan kestabilan politik dan pemerintahan dalam negara.

"Inisiatif yang dibentangkan hari ini dan sekiranya undi percaya di Parlimen diterima kelak antaranya peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang sama dengan ahli Parlimen kerajaan, penyertaan menyeluruh dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan mengehadkan jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, adalah sesuatu yang ditunggu oleh mereka yang ingin melihat kesuburan proses demokrasi dalam negara.

"Apa yang lebih menarik adalah kedudukan ketua pembangkang yang diberikan kemudahan setara dengan Menteri Kanan.

"Ini adalah satu perkembangan menarik yang belum pernah berlaku dalam negara ini. Nampaknya ketua pembangkang perlu berfungsi untuk turut sama membangun negara, bukan lagi hanya membangkang apa sahaja yang dicadangkan oleh kerajaan," katanya dalam kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Roslan berkata, pihaknya juga merayu kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk campurtangan bagi menyekat pihak-yang sentiasa ingin mendapatkan kuasa.

Beliau berkata, ada baiknya pihak istana bertindak selaku pendamai dengan menggalakkan perundingan untuk kestabilan kerajaan sehinggalah satu tempoh kita dapat menyerahkan kembali mandat kepada rakyat dengan melakukan proses Pilihan Raya Umum (PRU-15).

Ini kerana katanya, PINTAR mahu rakyat menolak pemimpin parti politik yang suka menangguk di air keruh yang mana ia boleh menggadaikan nyawa rakyat tanpa menghiraukan bahaya penyebaran COVID-19 di mana pihak yang memberikan risiko kepada masyarakat ini perlu ditolak.

"Komitmen jelas Perdana Menteri yang dimaklumkan tempoh hari kepada seluruh rakyat Malaysia iaitu untuk menentukan keabsahannya melalui undi percaya pada sidang parlimen pada bulan September nanti sewajarnya dijadikan medan untuk menentukan keabsahan sokongan itu.

"Namun agak mengecewakan kerana terdapat pihak yang terus sahaja mendesak serta memberikan tekanan politik kepada kerajaan malah boleh dikatakan setiap hari rakyat akan mendengar mengenai tindakan politik yang ingin dilakukan terutama oleh pihak yang cuba untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

"Pada hemat kami, ia bukanlah satu perkara yang baik untuk negara di mana kita melihat ia memberikan kesan kepada kestabilan dan juga usaha yang sedang berjalan untuk menangani pandemik COVID-19.

Beliau berkata, rakyat sudah muak dengan gelagat sesetengah pemimpin politik yang saban hari memberi fokus perebutan kuasa, bukannya untuk membantu rakyat yang berada dalam kesusahan termasuk hilang pekerjaan dan ada yang tidak cukup makanan disebabkan kehilangan punca pendapatan ketika ini.

Tiada ulasan: