HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 Ogos 2021

Kenapa Zahid dan geng tidak ulas pelantikan Muhyiddin sebagai PM sementara?

Tidak ada ulasan daripada Zahid Hamidi dan Najib Razak berhubung titah Yang 

di-Pertuan Agong yang melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri 

sementara, hari ini.

Pemimpin UMNO daripada kumpulan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak masih berdiam diri setelah Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri (PM) sementara ‘caretaker’ menguruskan negara sebelum Perdana Menteri baharu dilantik.

Terdahulu Yang di-Pertuan Agong menerima watikah peletakan jawatan Muhyiddin sebagai PM di Istana Negara tengah hari tadi. Baginda kemudian berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sementara.

Kenyataan oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menyatakan:

“Susulan daripada peletakan jawatan ini, Seri Paduka Baginda telah berkenan supaya Yang Amat Berhormat Tan Sri Mahiaddin bin Md. yasin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

“Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.”

Sebelum ini, Zahid mengetuai kumpulan 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menyebabkan Muhyiddin hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Zahid dan kumpulannya menjalankan gerak kerja berterusan untuk menjatuhkan Muhyiddin daripada kerusi Perdana Menteri, walaupun mempunyai hanya 15 MP yang menyokongnya, berbanding 23 MP UMNO yang masih bersama PN.

Semakan Agenda Daily menerusi laman Facebook Zahid, Najib, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin dan Ketua Pemuda, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki, mendapati sehingga berita ini ditulis tidak ada kenyataan daripada mereka berhubung perkembangan terbaharu itu.

Tidak seperti kebiasaan apabila ada titah diraja yang dilihat menguntungkan perjuangan politik mereka, Zahid, Najib dan pemimpin sekutu mereka tanpa berlengah memuat naik kenyataan itu di laman Facebook masing-masing.

Namun, hari ini sudah hampir dua jam Istana Negara mengeluarkan kenyataan terbaharu bagi meredakan situasi politik, selain Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan supaya usaha melawan pandemik Covid-19 diteruskan, Zahid, Najib dan sekutu mereka tidak memuat naik kenyataan itu atau memberi sebarang ulasan.

Najib hanya memuat naik tulisan terbaharunya dalam Facebook jam 2.40 petang tadi berkaitan ‘hujan’.

Tulis Najib:

Hujan mencurah ke bumi.
Selepas hujan, pasti ada pelangi menanti.
Selepas kegelapan, pasti ada sinar menerangi.
Selepas derita, pasti ada kebahagiaan.
Semoga Allah SWT merahmati Malaysia dan rakyat semua.
InsyaAllah.

Manakala Zahid pula memuat naik kenyataan bersama Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri supaya pemimpin dan ahli terus mendukung dan setia kepada parti.

Untuk rekod kepemimpinan Majlis Tertinggi (MT) UMNO ketika ini hanya boleh berfungsi sebagai ‘caretaker’ sehingga selesai pemilihan dan mesyuarat Agung UMNO 2021 dijalankan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Jasri Kasim berkata MT yang diketuai Zahid hanya boleh menjalankan kerja-kerja pentadbiran parti selagi pemilihan baharu tidak dijalankan.

(*) Tok Akhi
Pemerhati Politik Kampung

Tiada ulasan: