HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Ogos 2021

Muhyiddin letak jawatan kerana bercakap benar, Anwar menipu konon ada majoriti


Tan Sri Muhyiddin Yassin terpaksa letak jawatan selepas desakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rakyat perlu membuat semakan realiti atau dalam bahasa Inggerisnya ‘reality check’, ia bermakna satu peristiwa yang menyebabkan anda mempertimbangkan fakta mengenai sesuatu keadaan dan bukan pendapat, idea, atau kepercayaan anda sendiri.

Faktanya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakan jawatan sebagai Perdana Menteri (PM) kerana bercakap benar selepas didakwa hilang majoriti ekoran komplot yang dirancang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan 14 Ahli Parlimen UMNO yang lain mengikutnya atau dikenali sebagai kluster mahkamah.

Muhyiddin mungkin pada awalnya cuba mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan cuba mengajak parti-parti blok pembangkang untuk duduk sama berbincang, ia pada mula menerima sambutan daripada dua pemimpin DAP Tony Pua dan Ong Kian Ming.

Untuk rekod, dakwaan kononnya Muhyiddin tidak mempunyai majoriti juga tidak pernah diabsahkan di Parlimen selepas kegelojohan Anwar dan Zahid yang terlalu mendesak.

Berbeza dengan Muhyiddin yang tampil secara terbuka mengakui tiada majoriti dengan peletakan jawatannya, belum tentu Anwar akan seberani atau selurus Muhyiddin untuk mengakuinya.

Anak seorang ulama sentiasa bercakap benar walaupun pahit, itu adalah Muhyiddin yang jujur tidak pandai berpusing-pusing seperti Anwar dan Zahid sehingga sanggup menipu satu sama lain.

Rakyat Malaysia pasti sukar untuk mendapat pemimpin seperti Muhyiddin lagi, bagaimanapun yang lepas biar berlalu dan jadikan ia sebagai iktibar dalam memilih pemimpin selepas ini.

Nyata ketelusan dan keberanian Muhyiddin meletak jawatan mendapat reaksi baik pelbagai pihak, bahkan parti pembangkang turut memuji Muhyiddin atas tindakan yang telus dan jujurnya itu.

Bagaimanapun, Anwar juga perlu menilai dirinya sendiri dan Agenda Daily mungkin dilihat berat sebelah dalam penilaian kami tetapi kami memberikan fakta dan bukannya ceramah politik retorik seperti diberikan Presiden PKR itu dihadapan pentaksubnya.

Semasa awal tekanan diberikan Anwar bersama Zahid terhadap pentadbiran Muhyiddin, rakyat diyakinkan kononnya blok pembangkang, Pakatan Harapan sudah memiliki majoriti yang didakwa menyakinkan dan mencukupi walaupun tidak diketahui datang jumlah majoriti yang didakwa oleh cikgu dan anak muridnya itu.

Malahan, Agenda Daily juga cuba mencari bilangan yang didakwa menyokong Anwar yang dikatakan dikumpul Zahid untuk menabalkan cikgunya itu, ia juga gagal. Malah, Agenda Daily juga cuba mencari pawang dan bomoh untuk membantu mencari angka majoriti tersebut juga menemui kegagalan.

Jadi, tidak pasti apakah angka majoriti yang diwar-warkan oleh Anwar dan Zahid untuk dipersembahkan kepada rakyat dan juga Yang di-Pertuan Agong, akhirnya semua orang menjadi mangsa penipuan.

Rakyat ditipu hidup-hidup dengan diberikan harapan kononnya blok pembangkang mempunyai majoriti, dalang sebenarnya adalah Anwar dan ia terbukti apabila sehingga kini tiada angka sahih yang didakwa dimilikinya boleh menjadikannya sebagai PM yang baharu.

Namun, adakah Anwar berani mengakui dirinya tidak ada majoriti seperti yang dilakukan oleh Muhyiddin semasa meletak jawatannya? Mengenali Anwar, hampir mustahil beliau akan membuat pengakuan tersebut.

Jauh panggang dari api untuk rakyat menyaksikan Anwar akan membuat pengakuan tersebut kerana beliau tahu rakyat akan melihatnya sebagai seorang penipu besar yang sentiasa memperdaya sesiapa sahaja demi matlamat peribadinya iaitu menjadi PM yang tidak tahu bila akan menjadi miliknya.

Namun, tidak boleh jika kita bandingkan Muhyiddin dengan Anwar kerana seorang yang berani bercakap benar tidak sama dengan seorang yang kaki kelentong.

Tiada ulasan: