HALAMAN SANTAI

Khamis, 19 Ogos 2021

Saman sudah diserah kepada peguam Anwar

 Oleh NUZULSHAM SHAMSUDDIN

Anwar

KUALA LUMPUR – Saman yang difailkan bekas pembantu penyelidik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap presiden PKR itu berhubung dakwaan gangguan seksual telah diserahkan kepada firma guaman yang mewakilinya melalui serahan tangan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mahajoth Singh yang mewakili Muhammed Yusoff Rawther ketika dihubungi media di sini hari ini selepas pengurusan kes secara dalam talian (e-review) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof, hari ini.

Menurut peguam itu writ dan pernyataan tuntutan itu telah diserahkan hari ini kepada peguam yang mewakili Anwar selaku defendan dari firma guaman, Ranjit Singh & Yeoh di pejabat mereka di Solaris Dutamas, di sini.

“Mahkamah juga menetapkan 9 September ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Muhammad Yusoff, 28, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi di sini dengan menamakan Anwar, 73, sebagai defendan tunggal.

Berdasarkan pernyataan Muhammed Yusoff mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut apabila beliau diminta oleh setiausaha sulit defendan iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulangtahun tokoh Mahatma Gandhi yang ke-150, anjuran kedutaan India kepada defendan.

Plaintif mendakwa Anwar telah melakukan serangan seksual dan pencerobohan ke atas dirinya dan beliau juga menolak perbuatan defendan serta memintanya berhenti melakukan perbuatan berkenaan.

Selepas kejadian itu, Muhammed Yusoff mendakwa tiada sebarang komunikasi antara mereka untuk tempoh lebih kurang sebulan, namun plaintif masih bekerja dengan defendan di pejabat itu sebelum dipindahkan ke Yayasan Aman. -K! ONLINE

Tiada ulasan: