Irwan Muhammad Zain
Nazri
menegaskan tidak akan bersikap begitu sekiranya Najib sendiri tidak
menghina dan memperlekehkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob. - Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
menganggap Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub telah
membuat pusingan-U dalam soal menyatakan sokongan terhadap Perikatan
Nasional (PN).
Hujah Nazri, pada 29 Julai
lalu, ketika pertemuan Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di
bangunan Parlimen, Jazlan antara yang bersetuju untuk kekal menyokong
PN.
Beliau
juga mengulangi, hujah menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin yang dibuat pada Januari lalu adalah kerana
mengikut perancangan kumpulan yang diketuai Datuk Seri Ahmad Zahid
Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Saya
mengesahkan (Ahmad) Jazlan ini seorang lagi kaki penipu kerana pada
Khamis 29 Julai dalam pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen UMNO di
Parlimen, Jazlan antara yang setuju kekal sokong PN, tetapi selepas itu
dia u-turn.
"Soal saya tarik
sokongan kepada Muhyiddin pada Januari lalu.. itu dibuat atas
perancangan kumpulan yang diketuai Zahid dan Najib, tetapi mereka tidak
tarik sokongan hingga menyebabkan saya hilang peruntukan sebanyak RM3.8
juta.
"Saya nak beritahu Jazlan, pada
bulan Mac lalu, Perhimpunan Agung UMNO 2020 telah putuskan supaya kita
tamatkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada
Pilihan Raya Umum ke-15.
"Ini bermaksud
PAU dan akar umbi UMNO mahu kita terus bersama kerajaan hingga Parlimen
bubar. Oleh kerana saya orang parti, sebab itu saya kembali menyokong
Muhyiddin dan PN seperti dituntut oleh parti. Mana 'flip-flop'nya
Jazlan?" katanya kepada Astro AWANI.
Nazri
juga menjelaskan tentang sokongan yang diberikan kepada Presiden PKR,
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.
Beliau
menjelaskan, sokongan itu diberikan bertujuan menyelamatkan UMNO yang
cuba diharamkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana
menteri ketika itu.
"Oleh kerana
dikatakan dalam tempoh dua tahun selepas PH menang, (Tun) Mahathir akan
serahkan kepada Anwar jawatan perdana menteri.
"Jadi, saya nampak ada ruang untuk menyelamatkan UMNO kerana Dr Mahathir bersungguh-sungguh mahu mengharamkan UMNO.
"Tujuan
saya berbaik dengan Anwar hanya semata-mata kerana mahu menyelamatkan
UMNO, bukan macam Jazlan dan gengnya yang diketuai Zahid yang
bersungguh-sungguh mahu mahu jatuhkan kerajaan hari ini kerana mahu
bergabung dengan Anwar untuk menubuhkan kerajaan baharu.
"Kalau
bergabung dengan Anwar, maknanya bergabung dengan DAP. Jadi Jazlan kena
ingat bahawa keputusan PAU 2020 juga ialah 'No Anwar, No DAP'.
Mengulas
dakwan Jazlan bahawa beliau sanggup menghina dan mencaci Najib yang
banyak berjasa dan berbudi, Nazri menjelaskan ini bukan soal berjasa
atau tidak kepada individu.
Sebaliknya
beliau menegaskan, tidak akan bersikap begitu sekiranya Najib sendiri
tidak menghina dan memperlekehkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob.
"Saya tidak akan
menghina dan mencaci Najib kalau dia sendiri tidak menghina dan
memperlekehkan Ismail Sabri yang sah dilantik sebagai TPM.
"Saya
tidak faham kenapa kecaman itu datang dari pemimpin UMNO. Kalau tidak
puas hati dengan Muhyiddin, kecamlah Muhyiddin, kenapa kecam Ismail
Sabri? Sebab itu saya bersikap kurang ajar terhadap Najib.
"Soal konon Najib banyak berjasa kepada saya... saya nak beritahu Jazlan, saya dilantik sebagai menteri atas kebolehan saya.
"Walapun
saya bukan ahli MT UMNO, saya tetap dilantik sebagai menteri selama 19
tahun. Dan
ingat, Najib naik juga kerana sokongan saya. Kesetiaan
saya bukan kepada individu tetapi kepada UMNO.
"Kepada Jazlan, kalau kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan kamu duga," katanya.
Pada Ahad, Malaysiakini melaporkan
Jazlan menasihati Muhyiddin agar berhati-hati dengan Nazri yang didakwa
boleh menyokong sesiapa sahaja dan boleh berubah menjadi lawan dengan
sekelip mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan