HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Ogos 2021

Naib Presiden UMNO kem Zahid mahu PM nasihati Agong bubar Parlimen pula

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Khaled Nordin mendesak Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen.

Walaupun krisis kesihatan sedang melanda negara, seorang Naib Presiden UMNO kem Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendesak supaya Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong membubar Parlimen bagi memberi laluan pilihan raya umum diadakan.

Datuk Seri Khaled Nordin mendakwa PM sudah hilang majoriti ketika ini dan perlu meletak jawatan serta menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen, ia sebelum keabsahan ditentukan di Dewan Rakyat pada September ini.

“Dalam keadaan seperti ini, Perdana Menteri tidak lagi perlu menguji sokongan beliau di Dewan Rakyat. Beliau maklum dan tahu sokongan sebenar terhadap beliau.

“Justeru beliau mesti mematuhi segera Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan iaitu meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khaled menggunakan hujah surat bocor Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang tidak pasti ketulenannya dengan mendakwa PM sudah hilang majoriti.

“Jika lah sahih surat Speaker Dewan Rakyat, maka telah diabsahkan oleh Speaker Dewan Rakyat bahawa Perdana Menteri telah hilang kepercayaan dan Perdana Menteri perlu segera meletakkan jawatan,” katanya lagi.

Surat yang tular semalam belum disahkan ketulenannya, ia bagaimanapun digunakan oleh blok pembangkang termasuk kumpulan dalam kem Zahid untuk menyerang kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin.

14 MP UMNO diketuai Presiden UMNO, Zahid sedang merancang bersama blok pembangkang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta parti kecil lain yang cuba menumbangkan kerajaan PN ketika ini.

Setelah beberapa kali gagal untuk menumbangkan kerajaan PN, kumpulan Zahid dan Anwar dilaporkan mengutus surat terbaharu kepada Yang di-Pertuan Agong mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai majoriti.

Sebelum ini Yang di-Pertuan Agong sudah memperkenankan rancangan Muhyiddin untuk mengemukakan usul percaya terhadap kepimpinan beliau bagi membuktikan keabsahannya sebagai PM yang memiliki majoriti Parlimen.

Usul itu dijangka dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat yang bakal bermula 6 September ini.

Tiada ulasan: