HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 Ogos 2021

PAS telah berusaha bantu rakyat bersama Muhyiddin, kekal dalam PN


PAS konsisten kekal bersama Perikatan Nasional.

PAS akan terus kekal bersama Perikatan Nasional (PN) untu meneruskan agenda memperkasa ummat selain mendepani masalah pandemik Covid-19, dan kesannya terhadap rakyat dan negara.

Pada masa sama parti itu berpendapat kerajaan PN yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan negara daripada wabak Covid-19.

“PAS merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang telah mencurahkan khidmat bakti.

“Kerajaan PN yang dipacu oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha sedaya upaya menyelamatkan negara daripada wabak Covid-19, kata Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Menurutnya menerusi usaha gigih itu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) semakin menunjukkan kejayaan dengan mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia.

“Kerajaan juga telah menempah lebih 87 juta dos vaksin yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion buat negara. Begitu juga strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijangka dapat diselesaikan hujung tahun ini.

“Sepanjang pentadbiran PN, lebih RM530 bilion telah diperuntukkan dalam lapan pakej ekonomi bagi menjaga kesihatan dan meneruskan kelangsungan hidup rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya PAS berharap momentum kerajaan PN dahulu perlu diteruskan dan tidak boleh diganggu gugat demi negara kita akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat.

Sementara itu, memetik laporan BHOnline, Kamaruzaman berkata PAS tetap konsisten bersama PN walaupun Muhyiddin sudah meletak jawatan.

Katanya, pendirian itu adalah selari dengan kekuatan PAS yang memiliki 18 kerusi Parlimen sekali gus mampu menentukan jatuh dan tertegaknya sesebuah kerajaan.

Tiada ulasan: