HALAMAN SANTAI

Ahad, 15 Ogos 2021

Pejuanita Muda dakwa Muhyiddin rasuah ketua pembangkang

Oleh AQILAH MIOR KAMARULBAID
NURUL Ashikin Mabahwi (tengah) membuat laporan polis di Balai Polis Setapak, Kuala Lumpur hari ini.

PETALING JAYA: Pejuanita Muda Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) mendakwa tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat tawaran setara dengan menteri kanan kepada ketua pembangkang sebagai rasuah demi mendapatkan sokongan majoriti bagi mengekalkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Ketuanya, Dr. Nurul Ashikin Mabahwi berkata, tindakan percubaan merasuah tersebut boleh didakwa dibawah Seksyen 28, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan hukumannya juga sama dengan kesalahan yang dilakukan.

Jelasnya, Perdana Menteri itu sepatutnya menghormati Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan dan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Tawaran ini telah diberikan khas kepada semua pemimpin-pemimpin pembangkang dan kerajaan bagi mengekalkan dan menyatakan sokongan terhadap beliau sebagai Perdana Menteri. Beliau juga telah menyalahgunakan kuasa untuk mendapatkan sokongan daripada pemimpin pembangkang.

“Beliau telah pun hilang keabsahan sebagai Perdana Menteri kerana tidak mendapat majoriti,” katanya kepada Utusan Online.

Semalam, Muhyiddin ketika menyampaikan perutusan Bersama Memulihkan Negara menjanjikan tujuh faedah kepada ketua pembangkang sekiranya undi percaya diluluskan.

Terdahulu, Nurul Ashikin telah membuat laporan polis di Balai Polis Setapak berhubung ucapan Perdana Menteri semalam dan tegas menyatakan kesanggupan untuk tampil membantu siasatan.

“Kami menentang segala cubaan beliau mendapatkan sokongan dengan cara merasuah Ahli Parlimen,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: