HALAMAN SANTAI

Ahad, 15 Ogos 2021

Pembangkang perlu pertimbang cadangan rentas parti, fokus bantu rakyat


Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.

Fokus utama adalah bagi mencari jalan untuk membantu rakyat keluar daripada krisis kesihatan dan pembangkang perlu pertimbang cadangan rentas negeri yang dikemukakan Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata cadangan tersebut perlu diteliti daripada aspek jangka masa panjang kerana rakyat sudah tidak mahu melihat satu lagi kemelut politik berulang, bahkan calon PM yang diketengahkan pembangkang juga belum pasti memiliki majoriti seperti didakwanya.

“Jawatan Perdana Menteri (keabsahan) bukan isu di sini. Isunya ialah sama ada kita (kerajaan dan pembangkang) boleh bertindak bersama dan melakukan secara bersama demi kepentingan rakyat… mereka tidak nampak perkara ini.

“Ada yang melihat tawaran itu mengikut kepentingan berbeza-beza. Justeru, respons kepada tawaran itu dilihat belum jelas daripada mana-mana pihak, kecuali beberapa pemimpin pembangkang yang saya kira mereka melihat kepada impak jangka panjang beberapa tawaran itu.

“Pemikiran itu memperlihatkan bahawa mereka memandang jauh sama ada perlu menyokong atau membangkang semberono,” katanya dipetik dalam program Ruang Bicara Bernama hari ini.

Kenyataan tersebut disokong dengan pengakuan Ahli Parlimen DAP, Tony Pua yang juga mengakui Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak memiliki majoriti untuk menjadi PM baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Shamsul Amri berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) adalah medan sebenar untuk menguji keabsahan kerajaan dan kedudukan Perdana Menteri.

Sementara itu, Pengurus Unit Demokrasi dan Tadbir Urus Institut Demokasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Aira Azhari berkata, jika ada pihak mendakwa kerajaan dilihat gagal dalam konteks pengurusan pandemik Covid-19, pembangkang pula dilabel tidak mampu bersatu untuk menjalankan peranan mereka.

Ketika ini, beliau berkata, visi dan misi serta cadangan untuk membawa negara keluar daripada krisis kesihatan yang dikemukakan pembangkang, dilihat sebagai kurang.

“Kelemahan pembangkang ialah mereka kurang wawasan dan visi untuk negara ini, dan kita masih lagi menanti perkara ini,” katanya.

Semalam, Muhyiddin menyenaraikan tujuh perkara dalam cadangannya kepada parti-parti pembangkang bagi mengelakkan kejatuhan kerajaan yang menurut beliau boleh mencetuskan risiko kekosongan kuasa ketika negara sedang berdepan pandemik Covid-19.

Antara lain, beliau berjanji untuk menyalurkan peruntukan dana yang sama rata kepada semua Ahli Parlimen, menggubal undang-undang anti lompat parti, menghadkan penggal jawatan perdana menteri, dan memastikan perwakilan Ahli Parlimen yang seimbang sama ada daripada kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen.

Muhyiddin juga turut berjanji untuk melaksanakan Undi 18 bagi membolehkan mereka yang berusia 18 tahun ke atas mengundi pada pilihan raya akan datang.

Tiada ulasan: