HALAMAN SANTAI

Sabtu, 14 Ogos 2021

Pemimpin PKR rapat dengan Anwar kata Kerajaan PN ada majoriti tipis: Lapor Utusan


Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid; Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua; dan Ahli Parlimen Bangi, Ong Kia Ming.

Ketika kem Zahid Hamidi dan Pakatan Harapan (PH) mendakwa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, seorang pemimpin kanan yang rapat dengan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, menafikannya.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dilihat menjelaskan bahawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kerajaan PN masih mempunyai majoriti tipis.

Memetik kenyataan kepada Utusan hari ini, Ahli Parlimen Kapar itu “menafikan penglibatan ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi ‘menyelamatkan’ majoriti tipis kerajaan PN dalam usul undi percaya di Parlimen, September ini”.

Utusan melaporkan:

“Sementara itu, ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid turut menafikan penglibatan ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi ‘meyelamatkan’ majoriti tipis kerajaan PN dalam usul undi percaya di Parlimen, September ini.”

Kenyataan Abdullah itu sekali gus menunjukkan Kerajaan PN masih mempunyai majoriti di Dewan Rakyat, walaupun didakwanya dengan undi yang tipis.

Abdullah Sani membuat kenyataan itu kerana dalam pemerhatiannya tidak ada Ahli-Ahli Parlimen (MP) DAP akan memeterai perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) dan menyokong Muhyiddin.

Malah beliau yakin semua Ahli Parlimen pembangkang ‘tidak lari,’ malah, sepakat bersama PH dan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

Agenda Daily semalam melaporkan terdapat MP daripada Team B DAP yang berfikiran lebih terbuka dalam memikirkan kepentingan rakyat yang kini sedang berdepan wabak Covid-19 dan kesan daripada pandemik itu yang telah lebih setahun melanda negara.

Hanya dari segi keahlian sahaja yang mengikat mereka dengan dasar parti namun hakikatnya mereka bebas membuat pilihan dan bersuara berdasarkan ‘hak untuk bersuara’ seperti yang dilaung-laungkan pembangkang selama ini.

DAP walaupun duduk di bawah gabungan Kem PH, namun Agenda Daily diberitahu di dalam parti itu sendiri terdapat individu yang enggan bekerjasama dengan Kluster Kleptokrat daripada UMNO diketuai Zahid dan Najib Razak.

Ini kerana Team B DAP masih berpegang kepada penolakan terhadap kleptokrat yang diperjuangkan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Lagi pula DAP mendapat sokongan pengundi Cina disebabkan isu kleptokrat kerajaan Barisan Nasional (BN) diterajui UMNO.

Sumber dalaman DAP memberitahu Agenda Daily, perpecahan di dalam parti itu yang sudah lama berlaku kini semakin parah kerana ada sesetengah pemimpin yang sedia bekerjasama dengan kleptokrat yang mereka tumbangkan pada PRU14 lalu.

Team B DAP tegas menolak Zahid dan Najib yang sekarang ini didakwa dengan berpuluh pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit.

Mereka percaya jika PH, khususnya Anwar menjadi kerajaan, kedua-duanya – Zahid dan Najib – akan bebas daripada semua pertuduhan itu.

Terdahulu, Agenda Daily juga melaporkan dua pemimpin kanan DAP, MP Bangi Ong Kia Ming dan MP Damansara Tony Pua lebih terbuka menerima cadangan kerjasama bipartisan yang dikemukakan oleh Muhyiddin.

Ketika mengulas syor Perdana Menteri, Kia Ming mengajak parti pembangkang menyahut seruan itu dan duduk semeja membincangkannya.

Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan pula berpendapat cadangan itu harus dipertimbangkan kerana Anwar juga tiada majoriti.

Pua juga dilaporkan berkata terdapat tiga pilihan lain yang boleh difikirkan tetapi ianya akan membawa lebih bencana kepada rakyat dan negara kerana akhirnya kleptokrat akan bebas dan kembali menguasai pentadbiran kerajaan.

Kata Pua:

“Apa pilihan yang ada pada kaca mata rakyat?

i) Meneruskan kemelut politik selama beberapa minggu (atau lebih lama) kerana tidak ada yang mendapat majoriti di tengah-tengah wabak ini.

ii) UMNO PM – kleptokrat bebas dan badut sama berada dalam Kabinet dan

iii) Pilihan Raya Umum, kerana tidak ada sesiapa memiliki majoriti. Pada ketika krisis pandemik. Cukup-cukuplah.

Bagaimanapun, Pua tidak sanggup menerima tiga pilihan diatas kerana ia bakal mengundang lebih banyak kehancuran kepada negara sebaliknya berkata Muhyiddin menawarkan beberapa pembaharuan bipartisan yang nyata yang sangat diperlukan oleh negara ketika ini.

Tiada ulasan: