HALAMAN SANTAI

Sabtu, 14 Ogos 2021

Bersih 2.0 kata tawaran PM jamin kestabilan politik, demokrasi


Bersih 2.0 menyifatkan tawaran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjamin kestabilan politik dan demokrasi di Malaysia.

Gabungan untuk Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) menyifatkan tawaran Perdana Menteri (PM) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melakukan beberapa pembaharuan institusi adalah langkah yang baik untuk menjamin kestabilan politik dan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Pada masa sama Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dalam kenyataan hari ini turut menggesa pembangkang membentangkan jika benar mempunyai majoriti 111 atau lebih dan menyatakan pakej pembaharuan yang mampu memperkukuhkan pentadbiran merentas parti.

“Mekanisme pembuktian ini agar pembangkang mempunyai majoriti sebelum mereka dapat membuang PM sedia ada diistilahkan sebagai Undi Tidak Percaya Konstruktif (Constructive Voice of No Confidence).

“Ia perlu dipertimbangkan untuk mengelakkan kekhuatiran orang ramai kepada kekosongan kementerian – sebagaimana yang berlaku apabila Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 24 Februari 2020 dan pembentukan Kabinet Perikatan Nasional (PN) pada 8 Mac 2020,” kata Bersih 2.0.

Kumpulan bebas itu juga berkata Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) tidak boleh hanya datang daripada Muhyiddin, tetapi juga mereka yang beraspirasi untuk menjadi Perdana Menteri dan memegang kerajaan selepas itu.

“Kami menggesa mereka untuk bersaing di atas dasar pembaharuan bagi membentuk kerajaan yang stabil dengan pada masa yang sama menyelesaikan kelompangan sistem politik negara,” kata Bersih 2.0

Bersih turut mencadangkan pembuatan dasar berkaitan pandemik yang lebih inklusif melalui Majlis Persekutuan-Negeri Bagi Kesihatan dan ekonomi, yang dipengerusikan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen, dengan keanggotaan oleh menteri kanan, Ahli Parlimen pembangkang kanan, kesemua 13 Menteri Besar dan Ketua Menteri serta pakar atau teknokrat.

Bersih 2.0 juga mencadangkan Kerajaan PN meminda Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk mengutamakan usul percaya dan tidak percaya pada masa akan datang; melaksanakan Undi 18 dengan segera mewartakan hari bekerja seterusnya sebagai tarikh pindaan Perlembagaan berkuat kuasa; dan menghentikan semua tahanan, pendakwaan dan gangguan kerajaan kepada mereka yang mengkritik kerajaan serta membantu perhimpunan aman #Lawan pada 21 Ogos.

Tiada ulasan: