HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 Ogos 2021

Pertemuan dengan Agong bukan semata bincang isu PM baharu

Ainul Illia

Al-Sultan Abdullah mahu parti bentuk politik baharu lebih aman untuk rakyat

KUALA LUMPUR -Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua parti politik untuk bekerjasama dalam menghadapi pandemik COVID-19 serta isu ekonomi.

Presiden PKR itu berkata demikian sebaik keluar dari pintu 2, Istana Negara di sini, hari ini.

Katanya, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah turut bertitah supaya isu pelantikan Perdana Menteri baharu diselesaikan melalui lunas Perlembagaan.

“Semua ketua parti politik yang dijemput menghadap Tuanku telah memberikan pandangan masing-masing dan (ketua parti politik) dilihat mempunyai konsensus untuk menghentikan politik lama.

“Ia dengan cara menjurus semula ke arah membangunkan negara,” katanya menerusi status di Facebook, hari ini. 

Anwar berkata, sesi menghadap ini bukan semata-mata membabitkan isu pelantikan seorang Perdana Menteri baharu.

“Al-Sultan Abdullah mahu parti politik menggagaskan satu bentuk politik baharu yang lebih aman untuk rakyat,” katanya.

Katanya, semua pemimpin parti politik hadir dalam sesi bersama Agong sebentar tadi. Turut hadir ialah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah.

Pertemuan itu berlaku sehari selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengundurkan diri sebagai Perdana Menteri, sehingga mengakhiri pemerintahan Perikatan Nasional yang berusia 17 bulan.

Tiada ulasan: