HALAMAN SANTAI

Selasa, 10 Ogos 2021

PH akui Anwar tak cukup sokongan jadi PM

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapat majoriti sokongan Ahli Parlimen untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri, namun Pakatan Harapan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong setelah UMNO mendakwa 13 Ahli Parlimennya tidak menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan memaklumkannya kepada Agong.

Blok pembangkang akhirnya mengaku tidak cukup sokongan bagi membuktikan kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa ketua mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim layak untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Susulan itu mereka dilapor membatal pencalonan Anwar sebagai Perdana Menteri, namun mengutus surat akuan kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini sebagai langkah tergesa-gesa menyokong surat yang dihantar oleh UMNO menyatakan 13 Ahli Parlimennya tidak menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penghantaran surat oleh PH disahkan Timbalan Presiden AMANAH yang juga Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

“Ya kita ada buat surat (akuan). Surat itu dihantar menerusi parti (masing-masing dalam komponen Pakatan Harapan – PH). Cuma saya tak pasti bila surat itu dihantar tetapi saya ada dimaklumkan mengenainya,” katanya memetik laporan BHOnline.

Seorang pemimpin kanan PKR berkata blok pembangkang bersetuju untuk memberi tumpuan kepada Ahli Parlimen yang menentang Muhyiddin.

“Memanglah Ahli Parlimen pembangkang tak akan sokong Perdana Menteri yang memerintah. Perkara sedemikian dah memang terang. Tetapi kami berpandangan sesuatu perlu dilakukan cepat untuk menyokong surat UMNO kepada Tuanku.

“Mereka sedar bahawa selagi mereka tidak memiliki nama untuk calon Perdana Menteri, tidak ada apa yang berubah dalam konteks persefahaman untuk menggulingkan kerajaan sekarang,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaNow.

Memetik laporan itu PH dan beberapa Ahli Parlimen lain mendakwa berjaya mengumpulkan 100 nama berserta 13 nama yang didakwa oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, Parti Warisan Sabah (WARISAN) turut mengesahkan mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung perkara sama.

Ketua Wira WARISAN yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Azis Jamman memaklumkan parti itu sudah menandatangani dan menghantar surat berkenaan.

“WARISAN juga mengesahkan perkara ini. (Surat) ditandatangani dan diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya di Twitter.

Walaupun Ahli Parlimen di luar PH turut menolak kepimpinan Muhyiddin, namun mereka tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri, yang dikatakan sebagai matlamat utama rancangan Zahid dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Sehingga sekarang, calon perdana menteri belum dinamakan kerana penentangan hebat Ahli-ahli Parlimen yang boleh menjadi kingmaker,” kata sumber dalaman PKR tersebut kepada MalaysiaNow.

Tiada ulasan: