HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Ogos 2021

Politik kotor! Maria Chin bidas laporan palsu kait wakil rakyat PKR sokong PN

Maria Chin menolak dan mengutuk sekeras-kerasnya amalan ‘politik kotor’.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Petaling Jaya dari PKR, Maria Chin menafikan laporan sebuah portal bahawa beliau bersama dua lagi Ahli Parlimen PKR berpaling tadah dengan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Malah beliau berkata, hasil semakan laporan bertajuk “Siapa 3 Ahli Parlimen PH lompat sokongan PN?” itu juga didapati tidak wujud dalam portal berkenaan.

“Saya menolak semua ini dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan politik kotor seperti ini.

“Ingin saya nyatakan bahawa saya tetap bersama PKR dan PH. Saya tetap berpegang kepada komitmen dalam perjuangan ini, begitu juga rakan-rakan saya Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh) dan Tony Pua (Damansara),” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, laporan palsu berkenaan memetik tiga Ahli Parlimen PKR itu bersetuju untuk menyokong PN dengan “wang deposit” RM5 juta sudah diberikan kepada mereka.

Mengulas lanjut, Maria berkata, beliau kecewa masih ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dengan mewujudkan suasana politik yang kotor dan terhina.

Beliau menegaskan, berapa banyak pun berita palsu yang cuba dibuat, beliau tetap teguh bersama PH untuk menjaga kebajikan rakyat terutama pengundi beliau.

“Ratusan orang mati akibat Covid-19 setiap hari, namun masih ada pihak yang menangguk di air keruh.

“Walau berapa banyak berita palsu yang dihasilkan oleh ‘cybertrooper’ sebegini, saya akan berdiri teguh bersama PH untuk memastikan kebajikan dan kesihatan jutaan rakyat Malaysia terjaga dan tidak dikompromi oleh kerajaan PN-BN (Barisan Nasional) yang gagal dan tidak kompeten,” katanya.

Tiada ulasan: