HALAMAN SANTAI

Jumaat, 13 Ogos 2021

Hanya ketua kerajaan boleh cadang bubar DUN, kata peguam

Pada pembukaan sidang DUN Johor padi tadi, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar 
memberi amaran tidak teragak-agak membubarkan DUN jika ada cubaan 
menggulingkan kerajaan negeri. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang peguam berkata, ketua negeri tidak boleh membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) kecuali diminta berbuat demikian oleh ketua kerajaannya.

Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, berhubung peletakan jawatan menteri besar atau ketua menteri, semua perlembagaan negeri ditulis sama dengan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, undang-undang tertinggi persekutuan.

Peruntukan itu menyatakan perdana menteri yang tidak lagi mempunyai majoriti kepercayaan di Dewan Rakyat perlu berundur jika permphonan pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong ditolak.

Rafique berkata, sultan adalah raja berperlembagaan seperti yang dinyatakan dalam perlembagaan negara.

“Kuasa mereka ditetapkan dalam perlembagaan negeri dan persekutuan,” katanya mengulas amaran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bahawa baginda tidak akan teragak-agak membubarkan DUN jika ada cubaan menggulingkan kerajaan negeri semasa.

“Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai mengganggu gugat negeri dan kerajaan saya.

“Saya rasa tidak perlu ada wakil rakyat, jika masing-masing hanya fikirkan tentang kedudukan sendiri, bukannya kepentingan rakyat.

“Apabila wabak Covid-19 telah terkawal, saya akan serahkan kepada rakyat untuk memilih ahli dewan yang baharu, selepas ini pilihlah betul-betul pemimpin yang jujur dan ikhlas mahu berkhidmat untuk rakyat,” titah Sultan Ibrahim.

Pada majlis perasmian pembukaan penggal sidang DUN Johor pagi tadi, Sultan Ibrahim menasihatkan semua ADUN supaya menggunakan persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi membantu rakyat serta membangunkan semula ekonomi Johor.

Amaran itu menyusul tindakan Umno menarik sokongan kepada kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dengan menggesa Ahli Parlimen parti itu melepaskan jawatan menteri mereka sebagai tanda kesetiaan.

Kerajaan Johor pimpinan PN mempunyai 29 kerusi dengan 14 daripadanya dipegang Umno, Bersatu (12), MIC (dua) dan PAS (satu). Pakatan Harapan pula mempunyai 27 kerusi, dengan DAP memiliki 14 kerusi, PKR (tujuh) dan Amanah (enam).

Ketua Umno Johor, Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai menteri besar selepas kerajaan PH tumbang susulan “langkah Sheraton” tahun lalu, menggantikan Sahruddin Jamal daripada Bersatu.

Tiada ulasan: