HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Ogos 2021

Sokong Kerajaan PN: Azeez nafi khianati arahan MKT UMNO

Astro Awani
Sokong Kerajaan PN: Azeez nafi khianati arahan MKT UMNO
Abdul Azeez meminta rakyat terutama di Baling supaya tidak terkeliru dengan dakwaan membabitkan dirinya. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menafikan beliau mengkhianati arahan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO selepas dilaporkan menyokong Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Beliau yang juga Ahli MKT parti itu berkata, tidak pernah menandatangani sebarang surat atau dokumen, namun tidak menafikan menandatangani kehadiran dalam perjumpaan bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Katanya, gambar tandatangan itu menjadi tular menyebabkan pelbagai dakwaan negatif berlegar di media sosial terhadapnya.

“Pelbagai dakwaan negatif berlegar di media sosial yang mengatakan saya telah mengkhianati arahan MKT UMNO.
 
“Sebagai seorang ahli parti yang telah bertanding atas nama UMNO dan BN, tidak mungkin ia benar. Justeru saya ingin memaklumkan bahawa tandatangan yang tular itu adalah tandatangan kehadiran saya bagi perjumpaan tersebut.
 
“Itu sahaja, tidak ada apa-apa surat lain diarahkan untuk kami menandatangani. Saya hadir selaku Ahli Parlimen untuk mendengar perbincangan Timbalan Perdana Menteri, yang mana ia sama dengan pendirian saya dan parti iaitu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
 
"Justeru saya akan laksana tanggungjawab di Parlimen apabila dipanggil untuk mengabsahkan kerajaan hari ini," katanya dalam satu sidang media secara maya pada Jumaat.

Beliau meminta rakyat terutama di Baling supaya tidak terkeliru dengan dakwaan membabitkan dirinya.
 
“Harap rakyat Baling jangan terkeliru dengan segala dakwaan dan dakyah yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang hendak melaga-lagakan isu semasa ini berkaitan kehadiran saya dalam perjumpaan itu.
 
“Buat masa ini, saya ingin beri tumpuan penuh khas kepada rakyat Baling sebagai Ahli Parlimen dan Ketua UMNO bahagian dalam usaha menangani pandemik yang sedang berlaku sehingga Parlimen dipanggil untuk bersidang,” ujarnya.
 
Hari ini, Ismail Sabri mengumumkan seramai 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) menyatakan pendirian untuk terus menyokong kerajaan PN pimpinn Muhyiddin. 
 
Beliau berkata, kesemua Ahli Parlimen terbabit termasuk Abdul Azeez bersetuju agar usul percaya dibentang dan dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat, September ini.

Tiada ulasan: