HALAMAN SANTAI

Ahad, 15 Ogos 2021

Tawaran Muhyiddin undang keraguan

Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
LIM GUAN ENG

PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung perjanjian persefahaman rentas parti hanya mendatangkan keraguan walaupun beberapa reformasi institusi antara perkara yang ditunggu pembangkang.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, jika ada pihak dari kem pembangkang yang tertarik dengan tawaran reformasi itu mereka tidak boleh dipersalahkan kerana berpegang kepada konsep matlamat menghalalkan cara tanpa memikirkan siapa yang membuat tawaran itu.

Malah katanya, reformasi institusi bukanlah permainan politik sebaliknya perlu dibentuk secara lebih idealistik.

“Reformasi institusi bukanlah permainan politik, kita perlu ada komitmen yang ikhlas dan pengorbanan, barulah kita dapat membawa kemajuan yang bermakna.

“Namun kita berhadapan dengan seorang Perdana Menteri yang memiliki rekod melakukan yang sebaliknya, apabila matlamat menghalalkan cara, dalam perkara ini untuk kekal menjadi Perdana Menteri tanpa mengira berapa mahal harganya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan rangka persefahaman rentas parti diumumkan Muhyiddin semalam yang mengandungi tujuh perkara yang akan dilaksanakan kerajaan jika usul undi percaya terhadap beliau diluluskan di Dewan Rakyat.

Antara tujuh perkara itu ialah peruntukan tahunan sama rata untuk semua ahli Parlimen, pelaksanaan undi 18 tahun, jawatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal dan pembentangan undang-undang anti lompat parti.

Dalam pada itu, Guan Eng, berkata, ketaksuban atau obsesi semua pihak tidak sepatutnya tertumpu kepada siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri.

“Apa yang lebih penting ialah bentuk pelan reset Covid-19 untuk membetulkan kegagalan kerajaan dan rancangan normalisasi ekonomi demi meletakkan Malaysia kembali pada landasan betul.

“Jawatan Perdana Menteri bukan milik satu orang sahaja tetapi kelayakan perlu berdasarkan potensi kemampuan dan kapasiti untuk mengatasi pandemik COVID-19, kemelesetan ekonomi dan komitmen terhadap reformasi institusi bagi mengembalikan Malaysia sebagai negara yang sedang berkembang maju,” katanya.

Tambah Guan Eng, pihaknya juga menolak Pilihan Raya Umum (PRU) kerana keadaan semasa pandemik Covid-19 belum menunjukkan tanda positif.

“Komitmen DAP adalah untuk menyelamatkan nyawa dan mata pencarian dengan menumpukan kepada usaha memerangi pandemik.

“Perlunya Program Imunisasi COVID-19 Kebangssan (PICK) yang lancar dan pantas untuk mencapai imuniti berkelompok dengan suntikan vaksin selain bantuan kewangan secara langsung untuk mengeluarkan ekonomi daripada kemelesetan,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: