HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Ogos 2021

UMNO utus warkah kepada Agong, nama 14 Ahli Parlimen disertakan

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 awal tahun ini.

UMNO mengesahkan bahawa dua warkah telah diutus kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Warkah itu berhubung pemakluman kepada Seri Paduka bahawa 14 ahli Parlimen parti itu tidak lagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Warkah-warkah berkenaan telah diutus bertarikh 30 Julai dan 4 Ogos 2021 dan ditandatangani oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Media sosial UMNO turut memuat naik akuan bersumpah yang ditandatangani ahli Parlimen terlibat petang ini.

Ini termasuk nama ahli Parlimen UMNO di Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan) dan Datuk Mohamad Alamin (Kimanis).

Jelas Ahmad Zahid, pendirian 14 ahli Parlimen itu seiring dengan keputusan UMNO yang diputuskan melalui resolusi Majlis Tertinggi (MT) pada 7 Julai lalu.

Selain Ahmad Zahid, Bung Moktar dan Mohamad, turut menandatangani akuan bersumpah ialah Datuk Seri Najib Tun Razak (Pekan); Datuk Seri Ahmad Maslan (Pontian); Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong); Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling) serta Datuk Azalina Othman Said (Pangerang).

Ahli Parlimen lain, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang); Datuk Nizar Zakaria (Parit); Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut); Datuk Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands), Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang) serta Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang).

Tiada ulasan: