HALAMAN SANTAI

Rabu, 18 Ogos 2021

Warisan sokong jika Anwar lepasi angka ‘magis’

PARTI Warisan Sabah (Warisan) bersedia menyokong Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Namun begitu, Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Aziz Jamman berkata, sokongan itu akan diberikan sekiranya Anwar dapat membuktikan beliau dapat memperoleh angka sokongan majoriti mudah iaitu 111 kerusi Parlimen.

Buat masa ini, kata Mohd. Aziz yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, kesemua Ahli Parlimen pembangkang termasuk Warisan kekal pada 105 dengan harapan Anwar dapat memperoleh tujuh lagi sokongan untuk melepasi angka 111.

“Warisan akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau dapat melepasi angka magis dan berharap PH boleh memberikan hak kepada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal jika Anwar tidak melepasi angka magis itu.

“Sebagai pengesahan, pembangkang sekarang ada sokongan 105 Ahli Parlimen termasuk Warisan. Kami berharap Anwar boleh mendapat tujuh lagi untuk melepasi angka 111,” katanya dalam akaun Twitter miliknya hari ini.

Mohd. Azis turut mendedahkan bahawa parti-parti pembangkang lain turut menyatakan sokongan kepada Anwar.

“Ya, buat masa ini Warisan, Parti Pejuang, Parti Muda serta Parti Sarawak Bersatu (PSB) semua bersetuju menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Lagi tujuh tambahan Anwar kena cari. Minimum 111 daripada 220 Ahli Parlimen. Setakat ini kita ada 105 Ahli Parlimen,” katanya lagi.

Mohd. Azis ketika menjawab ciapan pengguna turut berkata Anwar dan Mohd. Shafie perlu bertemu untuk menyatakan sokongan masing-masing sebelum nama dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Sesiapa yang mendapat (sokongan) tertinggi harus diberi peluang menulis nama mereka dalam akuan bersumpah (SD), adakah anda mempunyai idea lain?,” jelas beliau.

Tiada ulasan: