Bagaimana mahu membela mangsa PTPTN selepas PRU?
Oleh Ali Bukhari Amir
Selepas pilihan raya umum ke-12 yang baru berlalu, barangkali ada antara kita yang telah menarik nafas lega kerana Barisan Rakyat (BR) telah pun berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) di kelima-lima buah negeri. Tetapi, hal itu bukan lagi kelegaan optima.
BN masih lagi berjaya membentuk kerajaan dalam keadaan mereka gagal meraih majoriti 2/3 daripada suara mereka di Parlimen. Jikalau BR menang, dalam janjinya dulu, masalah peminjam PTPTN akan diselesaikan. Antaranya, hutang pinjaman itu dimansuhkan.
Terdahulu sebelum itu, PKPIM telah pun mengeluarkan 13 tuntutan pelajar kepada mana-mana kerajaan yang diberi mandat kepada rakyat dalam pilihan raya kali ini.
Tuntutan ke-6 di bawah tajuk ‘Menyediakan Biasiswa dan Bantuan Kewangan’ berbunyi: “Menuntut pihak kerajaan menyediakan biasiswa pengajian penuh kepada pelajar bumiputera dan bantuan kewangan yang mencukupi kepada pelajar bukan bumiputera, seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Alternatifnya ialah menghapuskan caj 3 peratus yang dikenakan PTPTN dengan serta merta.”
Di sini, kaum pelajar mempunyai beberapa rancangan. Pertama, jika andaian calon-calon BN di Sabah dan Sarawak akan menganggotai BR itu benar-benar berlaku, maka dengan prasangka baik, semoga terbentuk kerajaan baru BR tersebut yang akan memenuhi segala janjinya untuk memansuhkan hutang piutang kaum pelajar kepada PTPTN.
Tapi, kita tak boleh terus berpegang kepada sangkaan dan andaian. Sangkaan dan andaian ini adalah perkara subjek, bukan objek yang boleh dilihat orang lain dan boleh dipegang. Sesuatu yang abstrak perlu dijelmakan dahulu ke alam realiti untuk didebatkan bersama.
Apa akan jadi kalau BR tidak berjaya mengumpulkan calon-calon BN di Sabah, Sarawak untuk membentuk kerajaan baru yang boleh melupuskan semua hutang piutang PTPTN? Maka, kita perlukan perancangan kedua.
Dan hal inilah yang perlu kita bahaskan bersama selepas pilihan raya kali ini. Bunga, riba atau nama lainnya, caj perkhidmatan telah menyebabkan pelajar tidak boleh menyimpan, menabung untuk melaksanakan cita-cita mereka selepas berijazah.
Mereka perlukan wang untuk membayar rumah, membina keluarga dan keperluan harian lain yang lebih mendesak. Jadi kedudukan peminjam PTPTN hari ini amat membebankan mereka. Mereka berijazah dalam keadaan menanggung hutang secara tidak sengaja.
Yuran pengajian sepatutnya tidak diwujudkan
Sepatutnya yuran pengajian tidak patut diwujudkan secara idealnya. Memang asas negara adalah pendidikan. Wahyu pertama turun adalah mengenai pendidikan di mana ‘Iqra’ itu adalah salah satu sendi penguat kepada sistem pendidikan dalam sesebuah negara.
Cuba, sebuah negara komunis sosialis telah pun menawarkan pendidikan percuma kepada rakyatnya. Tiada masalahnya. Malah, dalam suatu kunjungan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Cuba dulu, beliau takjub bagaimana Cuba menawarkan pendidikan percuma. Laporan berita menyebutkan, Abdullah ingin belajar daripada Cuba.
Tetapi, sehingga kini tidaklah diketahui apakah ilmu memberikan perkhidmatan percuma itu telah khatam? Rasanya belum. Sebab, PTPTN masih lagi tidak memperlihatkan tanda-tanda ingin berubah ke arah sesuatu yang baik, iaitu pendidikan percuma di universiti.
Mengapakah PTPTN dilihat sebagai penindas? Sebenarnya, PTPTN sendiri ditindas suatu agensi lain, iaitu KWSP. Jika tidak salah, KWSP mengenakan kadar faedah (bunga, riba) sebanyak 6%. Maka, sebab itulah PTPTN kenakan 4% ke atas pelajar sejak awal dahulu.
Ekoran desakan demi desakan yang berulang-ulang, maka PTPTN kenakan 3% sahaja ke atas para pelajar itu. Tapi, kadar faedah KWSP ke atas PTPTN tidak turun rasanya. Maka dengan keadaan saling tekan-menekan ini, apakah jalan penyelesaiannya?
Satu langkah pendek yang boleh saudara lakukan ialah dengan cara membayar juga wang PTPTN ini kerana ia melibatkan wang KWSP yang dicarum oleh ibu dan bapa kita kalau mereka bekerja dengan agensi kerajaan atau swasta. Tapi, bayar akar saja bukan bunga.
Ertinya, jika kita meminjam RM20,000, maka bayarlah RM20,000 saja. Jangan pedulikan notis PTPTN yang memaksa kita untuk membayar bunga, riba atau caj perkhidmatan.
Bayar seperti biasa mengikut kadar kemampuan anda setiap bulan sehingga habis jumlah RM20,000 itu. Selepas habis jumlah pembayaran tersebut, mahasiswa-mahasiswa seluruh negara perlu sepakat mengirim surat notis bahawa anda semua tidak mahu lagi membayar lebihan bunga, riba, caj perkhidmatan tersebut.
Kembarkan juga wasiat anda kepada PTPTN supaya riba yang dikenakan KWSP ke atas PTPTN itu boleh dibayar oleh Petronas. Bukankah syarikat GLC tersebut telah mencatat keuntungan sebanyak RM80 bilion baru-baru ini?
Apa yang diperlukan ialah muafakat daripada seluruh mahasiswa peminjam PTPTN bagi melazimi pembayaran mengikut kadar kemampuan anda setiap bulan dan jangan runsing dengan notis bayaran caj perkhidmatan. Bayar seperti biasa sehingga langsai RM20,000.
Bayangkan, dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, kalau 50,000 orang mahasiswa seluruh Malaysia bertindak seperti ini, PTPTN tidak akan dapat berbuat apa-apa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan