Berita Harian sebut Khir hanya lulus projek kecil, Utusan kata tak pernah lulus
Oleh andalusi
"Utusan Malaysia dalam laporannya berkata Khir Toyo menafikan beliau meluluskan projek ternakan babi bernilai RM100 juta seperti dakwaan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim."
"Manakala Berita Harian pula melaporkan kenyataan Khir Toyo yang menjelaskan mesyuarat Exco yang dipengerusikannya pada 30 Januari lalu ada membincangkannya perkara itu tetapi pada dasarnya meluluskan pembinaan ladang babi bersaiz kecil saja."
Dan ikuti Respon Raden Jowo terhadap isu ini:-
DUA akhbar utama, Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini melaporkan berita dengan maksud berbeza berhubung kelulusan projek ternakan babi bernilai RM100 juta oleh kerajaan negeri Selangor pimpinan Dato’ Seri Khir Toyo sebelum ini.
Utusan Malaysia dalam laporannya berkata Khir Toyo menafikan beliau meluluskan projek ternakan babi bernilai RM100 juta seperti dakwaan kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim.
Kata laporan itu, walaupun perbincangan mengenainya pernah dibuat dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri pada 30 Januari lalu, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan mahu pun memberikan kelulusan. Ini kerana katanya, saiz ladang yang dicadangkan terlalu besar.
Jelas beliau, dasar kerajaan negeri ketika itu adalah menetapkan setiap ladang ternakan babi hanya untuk menampung keperluan rakyat negeri Selangor iaitu sekitar 250,000 ekor dan bukan bagi tujuan eksport secara besar-besaran.
“Dalam perbincangan itu, kita hanya meluluskan projek ini sekiranya saiz ladang ternakan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri.
“Bagaimanapun, kita menolak cadangan ini atas faktor saiz dan kita tidak pernah mengeluarkan sebarang kelulusan dan keputusan secara muktamad supaya projek ini dilaksanakan,” menurut laporan Utusan yang menghubungi Khir Toyo.
Manakala Berita Harian pula melaporkan kenyataan Khir Toyo yang menjelaskan mesyuarat Exco yang dipengerusikannya pada 30 Januari lalu ada membincangkannya perkara itu tetapi pada dasarnya meluluskan pembinaan ladang babi bersaiz kecil saja.
“Ketika itu kita tidak bersetuju dengan saiz kawasan ladang kerana kerana kita mahu kawasan yang lebih kecil untuk menempatkan ternakan babi.
“Lokasinya belum kita lulus kerana mahu mendengar pandangan penduduk kampung. Kita tidak mahu wujud ladang besar sehingga menjadi pengeksport babi,” memetik kenyataan Khir di Berita Harian.
Secara umumnya laporan Utusan Malaysia memberi faham bahawa kerajaan negeri pimpinan Khir Toyo tidak pernah langsung meluluskan projek berkenaan. Ia juga memberi makna jika kerajaan negeri Pakatan Rakyat sekarang melaksanakan projek berkenaan maka ia tidak mempunyai kaitan langsung dengan keputusan kerajaan terdahulu.
Sebaliknya laporan di Berita Harian sedikit jelas kerana Khir mengakui ada meluluskan projek ternakan babi walaupun beliau mengatakan saiz yang diluluskannya adalah bersaiz kecil sahaja dan tidak menjadi halangan jika projek itu bukan untuk dieksport ke luar negara.
Jika tidak bagaimana mungkin Tan Sri Khalid boleh menyebut ungkapan ini “kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Khir Toyo meluluskan projek itu pada mesyuarat Exco, 30 Januari lalu“.
Kenyataan Menteri Besar Selangor itu dibuat selepas menerima kunjungan hormat rakan sejawatannya dari Perak, Ir Muhammad Nizar Jamaluddin di pejabatnya di Shah Alam.
Khalid turut memberi jaminan projek berkenaan mematuhi piawaian kualiti ditetapkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan kerajaan negeri Selangor sendiri.
Pemimpin PKR itu juga dilaporkan berkata, ladang berkenaan tidak akan mencemarkan alam sekitar kerana semua bahan buangan akan diguna semula dalam bentuk bio gas untuk menjana elektrik dan air bagi pembersihan ladang serta penanaman makanan untuk babi yang diternak.
Sementara itu beberapa pihak menggesa kerajaan negeri agar memastikan masyarakat Islam di kawasan terbabit tidak teraniaya dengan apa-apa masalah berkaitan projek ternakan berkenaan.
Respon Raden Jowo
Imej diatas menjelaskan betapa kawasan Sepang dan Morib sudah lama tercemar. Ia terhasil bukan di dalam 3 hari atau 3 minggu tetapi bertahun tahun yang lalu.Orang Morib memang dah tak boleh tahan dengan bau babi dan pencemaran pantai di sana.
Kawasan sekitar pendudukan kaum Melayu dan Cina terutamanya dan kawasan Pantai Tanjung Sepat. Beberapa tahun dahulu, sudah dihebohkan di TV3. Tapi ia tiba-tiba senyap terus dari media sehingga hari ini. Bila isu RM100 juta kandang babi moden timbul, semua orang dipaksa melonjak.
Yang sudah lama hilang, sudah mula kedengaran kembali. Pihak-pihak berkenaan meloncat sampai lupa pekung siapa yang sedang dibongkar. Media pun tiba-tiba rajin dedah itu dan ini. Tujuannya tidak lain untuk mempertikaikan tindakan kerajaan baru.
Yang kelakarnya, pilihan raya pada 8 Mac yang lalu, Tan Sri Khalid Ibrahim pegang jawatan 13 Mac dan anggota exco baru sahaja angkat sumpah pada 24 Mac, tidak sampai sebulan dan isu babi yang diwar-warkan pada sekitar minggu ini seolah-olah Kerajaan PR sudah lama memerintah. Pilih kasih atau menolak kehendak rakyat. Itu kata media dan NGO.
Penduduk Tanjung Sepat yang Wak temui bersyukur. Mereka Sedar, pekung siapakah yang media sedang buka sekarang. Betul atau tidak, jadi atau batal, yang penting rakyat sudah kembali buka mata.
Pantai Tanjung Sepat sudah hampir 15 tahun menyepi. Semuanya gara-gara air kotoran najis babi mengalir ke sana. Kalau dulu Tanjung Sepat tempat ikan mendarat dan bersiar siar, tetapi ia sekarang sekadar laluan bot dari laut. Tidak boleh beriadah atau berlepak lepak kerana kawasan sudah lama rosak.
Kerajaan Negeri Yang lalu, cuba membuka pantai MORIB yang baru untuk mengganti kawasan tersebut dan menjauhkan jarak dari kekotoran sebenar. Sehingga sekarang, yang penduduk jati pantai Morib tidak berani bermandi manda di pantai sana. Bilik air disediakan. Sabun pun ada dijual.
Semuanya untuk digunakan oleh pengunjung luar yang tidak tahu cerita sebenar. Kalau ada yang mandi dan berkumur kumur dengan air laut diMorib sebenarnya Najis babi sudah masuk ke mulut mereka. Orang kampung hanya melihat sambil tersenyum penuh rahsia.
Kini harapan timbul kembali. Sudah lama BN tutup kisah ini, dan sekarang tanpa sedar bantahan NGO terhadap kerajaan Negeri yang baru, serta data data bersangkutan untuk dijadikan bahan cerita media arus Perdana.
Kita buat sedikit perbandingan. Akibat mahu pilihan raya, isu Babi di Melaka ditutup. Dato’ Seri Najib, Timbalan PM kata ia sudah selesai. Tapi hakikatnya babi tidak berkurang, malah sampai sekarang ia masih membiak dan membiak. Tanah kerajaan turut digunakan secara haram.
Tapi semua ini tidak lagi menjadi isu kerana media dikawal oleh Kerajaan BN. Tutup semua cerita dan rakyat pun tutup mata. Karam Singh Walia pun dilarang ke sana. Dihantar keluar negeri untuk buat liputan tentang lain cerita.
Kerajaan negeri Selangor tidak sampai tiga bulan ditubuhkan, serangan bertali arus terus dilakukan. Yang penting kritik dan terus kritik. Inilah dinamakan serangan membabi buta. Baling batu bertubi tubi, tapi tidak tahu batu jatuh ke mana. Kita lihat kesudahannya.
Kalau ditanya pendapat, wak akan kata tidak setuju biar cerita berpanjangan. Biar semua aib Kerajaan BN didedahkan. Lagi panjang tempoh, lagi banyak cerita. Mungkin ada yang bertepuk dahi sekarang kerana sedar keburukannya sudah di dedahkan.
Rancangannya lain, jadinya lain. Serang sana tapi sini yang kena.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan