Masa depan politik PM di tangan BN Sabah, Sarawak?
Azamin Amin
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Kelemahan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semakin terserlah akibat sikap beliau yang dilihat tunduk dan berlembut terhadap 'tuntutan' para Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Sabah dan Sarawak bagi memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinannya yang semakin rapuh.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli berkata tindakan ini berpunca daripada desas-desus ahli parlimen kedua-dua negeri itu yang kemungkinan bersedia untuk bertukar parti kerana tidak lagi yakin dengan perjuangan BN di bawah kepimpinan Abdullah.
Ini juga adalah lanjutan daripada peletakan jawatan Timbalan Menteri oleh beberapa ahli parlimen yang 'tidak puas hati' dengan pelantikan tersebut yang sewajarnya diberi jawatan Menteri Penuh termasuk tuntutan mereka yang mahu kuota lebih di dalam kabinet, kata Dr Hatta.
"Lantaran dengan itu, Abdullah menawarkan pelbagai 'habuan' kepada ahli parlimen bagi mengelak mereka bertukar selera kepada parti lain.
"Secara tidak langsung menunjukkan seolah-olah masa depan politik Abdullah berada di tangan BN Sabah dan Sarawak. Ini jelas menyerlahkan lagi kelemahannya yang tidak berupaya menampilkan kekuatan tersendiri yang terpaksa tunduk kepada desakan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Budaya melayan 'tuntutan' itu kata Dr Hatta tidak akan berakhir di kedua-dua negeri terbabit malah akan kedengaran di masa akan datang ahli parlimen di negeri semenanjung juga akan menuntut hal yang sama.
Bagi beliau, jika Abdullah sudah gagal meraih sokongan rakyat termasuk ahli BN sendiri maka sama ada sejumlah wang yang besar atau pelbagai tawaran belum tentu dapat memulihkan keyakinan terhadap kepimpinannya itu.
"Abdullah janagan menyalahkan orang lain dengan menyatakan hal sabotaj. Sewajarnya melihat masalah itu di dalam diri sendiri.
"Beliau sepatutnya mengambil tindakan menyerahkan kepimpinan kepada orang lain setelah meneliti pengaruhnya yang sudah hilang," katanya yang juga Bendahari PAS Pusat.
Abdullah dikatakan bersedia menimbangkan permintaan pemimpin BN Sabah dan Sarawak untuk menambah bilangan anggota Kabinet Persekutuan dari kedua-dua negeri itu.
Malah dilaporkan pertemuannya dengan kepimpinana BN Sabah dan Sarawak turut membincangkan penyertaan wakil Sabah dalam politik dan pentadbiran di peringkat Persekutuan. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan