BPR bebas siasat isu 'hutang' tertunggak MSN: Ismail
KUALA TERENGGANU: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata Badan Pencegah Rasuah (BPR) bebas menyiasat berhubung isu peruntukan bantuan kewangan berjumlah RM6 juta kepada persatuan dan badan sukan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), yang tertunggak sejak setahun lepas.
Bagaimanapun, katanya daripada laporan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, tiada unsur penyelewengan, penyalahgunaan kuasa atau kelemahan pertadbiran yang menyebabkan isu itu timbul.
"Kita tidak jemput tetapi BPR berhak masuk termasuk di MSN, persatuan sukan atau belia. BPR bebas membuat apa sahaja (siasatan)," katanya ketika ditanya mengenai perkembangan terkini berhubung isu "hutang" itu yang masih belum dijelaskan MSN kepada beberapa persatuan sukan sehingga mereka tidak dapat menjalankan aktiviti dan latihan sukan.
Isu itu timbul apabila MSN dikatakan belum "melangsaikan" hutangnya dengan beberapa persatuan sukan termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC), Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) dan Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM).
Ismail Sabri ditemui pemberita selepas melawat Kolam Renang Batu Burok di sini bersama Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Sabtu.
Terdahulu, beliau diberikan taklimat dan melawat Kompleks Sukan Gong Badak, yang menempatkan stadium utama dan stadium tertutup, yang bakal digunakan sebagai venue untuk Sukan Malaysia (Sukma) bulan depan.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri menjelaskan kelewatan pembayaran peruntukan bantuan kewangan itu adalah disebabkan pelbagai perkara termasuk MSN belum menerima peruntukan daripada Kementerian Kewangan (MOF).
Beliau berkata setakat ini, MSN telah membayar lebih separuh daripada hutang tertunggak tersebut dan ia akan dilunaskan sepenuhnya apabila badan induk sukan itu mendapat peruntukan daripada MOF.
"Kita (MSN) akan bayar...sebenarnya ia bukan hutang tetapi bantuan yang sepatutnya diberikan kepada persatuan-persatuan sukan yang masih belum diberikan lagi.
"Bila dapat duit daripada Kementerian Kewangan, kita akan bayar. Hutang (yang tertunggak sejak setahun lepas) ini normal. (tetapi) kalau empat atau lima tahun (tertunggak), mungkin ada masalah besar," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan