"Syor kerajaan Hadhari isytihar sebelum masuk Islam tidak betul" Nik Aziz
Oleh Utusan
Kota Bharu: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan langkah kerajaan memperkenalkan satu peraturan mewajibkan mereka yang mahu memeluk Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka sebagai tidak betul.
Beliau berkata, sesiapa sahaja yang ingin memeluk Islam tidak perlu mengisytiharkannya tetapi untuk menjaga keharmonian keluarga ia boleh dilakukan.
"Dia nak masuk masuk Islam tidak payah bagi tahu, tetapi untuk jaga harmoni keluarga perlu beri tahu mereka.
"Tetapi beri tahu dulu sebelum masuk Islam tidak betul kerana Islam datang dari kalbu sendiri.
"Bila manusia hendak pada sesuatu benda perlu apa lagi cakap pada orang lain, cuma untuk jaga keharmonian elak daripada kecil hati," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Muhibah Antara Kaum di Taman Hijau di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan kerajaan memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk Islam perlu mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah di kemudian hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, tindakan memeluk Islam secara senyap-senyap seperti yang diamalkan sebelum ini, mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.
Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, ia juga bagi mengelakkan seseorang itu tidak jadi memeluk Islam disebabkan dimarahi oleh ibu bapa.
"Ini semua masalah teknikal saja, jangan sampai tidak jadi masuk Islam kerana orang tua marah, tidak betul.
"Islam datang dari iman dari hati kalbu kita, mana boleh manusia sekat cetusan hati, bila kita yakin dia akan datang sendiri," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan