Kedah akan lantik wakil semua kaum jadi Ahli Majlis Daerah
PENDANG: Kerajaan Negeri Kedah akan melantik wakil dari semua kaum sebagai ahli Majlis Daerah dan Majlis Bandaraya bagi memudahkan setiap kaum menyuarakan masalah yang dihadapi mereka.
Menteri Besar Azizan Abdul Razak berkata nama jawatan untuk wakil kaum Cina, India, Siam dan bumiputera itu belum diputuskan.
Pelantikan wakil kaum itu dijadual dibuat minggu depan selepas mesyuarat Exco, katanya dan menurutnya beliau sedang menunggu senarai nama calon.
Penyusunan semula ahli majlis daerah dan majlis bandaraya akan dibuat selepas ahli lama yang dilantik kerajaan Barisan Nasional (BN) diarah meletak jawatan, katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja dan perjumpaan dengan masyarakat Siam di Wat Siam Paya Mat Insun, dekat sini, semalam.
Barubaru ini Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid mengarahkan semua 1,938 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta ahli Majlis Daerah, Perbandaran dan Majlis Bandaraya daripada Umno meletak jawatan berkuatkuasa 1 April ekoran kekalahan BN di negeri itu dalam pilihan umum raya 8 Mac lepas.
Azizan juga berkata kesemua 12 daerah di negeri ini akan diwakili wakil kaum serta ahli daripada parti PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi menjalankan tugas di pejabat majlis daerah yang diketuai pegawai daerah masing-masing.
"Selepas ini setiap kaum penduduk setempat yang menghadapi masalah boleh merujuk kepada wakil mereka untuk diketengahkan kepada pegawai daerah untuk tindakan selanjutnya," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan