Mesyuarat kabinet kini Jumaat
Bukan lagi setiap Rabu, mesyuarat jemaah menteri kini diadakan setiap Jumaat untuk membolehkan semua menteri hadir pada setiap sesi sidang Dewan Rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz memaklumkan perubahan itu dalam siaran RTM malam tadi.
Beliau berkata ia juga berkaitan siaran langsung selama 30 minit yang diadakan pada sesi soal jawab Dewan Rakyat yang akan bermula 28 April.
"Sebelum ini, kita lihat semasa sesi soal jawab menteri yang tidak dapat hadir meminta setiausaha parlimen atau timbalan mereka untuk menjawab bagi pihak mereka.
"Dengan siaran langsung ini menteri sendiri yang akan menjawab soalan-soalan yang ditujukan kerana rakyat akan memerhati sesi tersebut," katanya, lapor Bernama.
Nazri berharap siaran langsung sidang dewan itu membolehkan ahli-ahli parlimen menjaga tutur kata dan kelakuan masing-masing.
"Ada ahli yang kadangkala terlepas kata semasa persidangan parlimen. Saya berharap dengan siaran langsung ini, secara tidak langsung ahli parlimen takkan menggunakan bahasa yang kesat.
"Ini termasuk isu-isu sensitif kerana masyarakat Malaysia merupakan masyarakat yang berbilang kaum.
"Walaupun mempunyai kekebalan di dalam dewan, tetapi sekiranya mereka cuba gunakan hasutan kaum, tindakan tetap akan diambil," katanya.
Nazri berkata, siaran langsung selama setengah jam itu yang bermula pukul 10 pagi akan melalui tempoh percubaan selama sebulan ataupun 16 hari parlimen bersidang untuk melihat sambutan rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan