HALAMAN SANTAI

Selasa, 15 April 2008

Laungan reformasi bergema lagi!
oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: ‘Gelita 14’ bagi semua penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR), berakhir apabila Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasminya bebas daripada sekatan undang-undang dan larangan untuk bergiat aktif dalam politik mulai hari ini, Selasa.

“Gelita sudah berakhir, dan kini adalah masanya untuk kita membela nasib rakyat tanpa mengira kaum sama ada Melayu, Cina, India mahupun bumiputera Sabah dan Sarawak”, katanya Anwar ketika berucap dalam perhimpunan ‘Black 14’ di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, malam tadi, Isnin.

Menerusi ucapan selama satu jam di hadapan kira-kira 20,000 penyokongnya yang membanjiri padang kelab tersebut Anwar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR, Pas dan DAP akan memberi keutamaan kepada proses peralihan kuasa kepimpinan negara.

Anwar menyatakan keyakinan bahawa peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Rakyat mungkin akan berlaku dalam tempoh masa terdekat walaupun sebelum beliau layak bertanding sebagai Ahli Parlimen.

Laungan reformasi terus bergema tepat jam 9 malam apabila Anwar tiba di kawasan perhimpunan bil diiringi isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah yang juga Presiden PKR, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Naib Presiden PKR, Azmin Ali serta pemimpin-pemimpin PKR.

Anwar juga tidak menolak kemungkinan Wan Azizah bakal menjadi Perdana Menteri sementara jika ahli Pakatan Rakayat mengkehendakinya.

“Kalau perubahan itu berlaku lebih cepat dari jangkaan sebelum saya layak menjadi Ahli Parlimen, Pakatan Rakyat akan melantik Wan Azizah sebagai Perdana Menteri,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh oleh penyokong parti itu.

Anwar turut mendakwa bahawa terdapat sebilangan wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak yang berminat untuk menyertai pakatan pembangkang.

Beliau turut mendedahkan terdapat wakil rakyat di Perak dari pakatan pembangkang yang cuba ‘dibeli’ oleh BN.

“Memang betul, saya dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan laporan polis sudah dibuat...tapi siasatan masih belum dijalankan,” katanya ketika sidang media selepas menyampaikan ucapan perdana.

Menyentuh mengenai serangan bertubi-tubi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad terhadapnya, beliau berkata Mahathir sendiri mempunyai kesalahan yang cukup banyak sewaktu beliau memerintah negara ini.

Beliau mengecam Mahathir agar bertanggungjawab kerana banyak mencabuli institusi kehakiman dan terlibat dalam penyingkiran bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas.

Ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak berhubung kononnya kemenangan besar pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum lalu bukanlah kerana kekuatan pakatan tersebut sebaliknya terdorong oleh kelemahan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, beliau menjawab dengan ringkas... “itu tidak penting... pokoknya kami sudah menang.”

Tiada ulasan: