Pembatalan MOU bukan diskriminasi tetapi prosedur biasa: Azalina
Oleh NURUL AIN HUSSAIN
KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said sekali lagi menegaskan pembatalan Memorandum Persefahaman (MOU) pelancongan bukan satu langkah diskriminasi projek pelancongan di lima negeri yang ditawan pembangkang.
Menurut beliau, antara aktiviti terdekat yang bakal berlangsung mengikut jadual adalah Penang Music Festival dan Langkawi Water Festival.
Beliau berkata kepada pemberita ketika sidang media pra pelancara"Citrawarna & Citarasa Malaysia 2008 di MATIC, Jalan Ampang di sini, Selasa.
Beliau turut merasmikan pembukaan rangkaian keenam butik coklat terbesar di Malaysia 'Cocoa Boutique' di Pusat Pelancongan Malaysia (MTC).
Ketika ditanya komen beliau mengenai permintaan daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim yang mahu pihak kementerian mempertimbangkan kembali keputusan membatalkan MOU tersebut.
Beliau lantas berkata, "Pembatalan MOU tersebut adalah keputusan daripada kerajaan pusat dan pihak kementerian hanya melaksanakannya. Kita bakal mengguna pakai polisi yang digunakan di Kelantan selama ini."
"Tidak timbul soal diskriminasi mana-mana negeri yang bukan di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).
"Kementerian juga bersedia menerima sebarang cadangan atau kertas kerja daripada negerinegeri di bawah pentadbiran pakatan pembangkang itu dan sentiasa bekerjasama erat bagi menjayakan semua aktiviti pelancongan yang dirancang sejak tahun lepas," katanya.
Semalam, Khalid dan Lim mengkritik serta melahirkan kebimbangan berikutan tindakan Kementerian Pelancongan menamatkan semua Memorandum Persefahaman (MOU) yang ditandatangani dengan kontraktor dan pengusaha pelancongan berkaitan pelaksanaan aktiviti pelancongan di lima negeri yang dikuasai pakatan partiparti pembangkang.
Khalid dan Lim dilaporkan sebagai berkata tindakan Azalina itu bertentangan dengan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu semua program yang dirancang kerajaan pusat bagi negerinegeri di bawah Pakatan Rakyat, diteruskan.
Azalina baru-baru ini membuat pengumuman mengenai penamatan MOU berkenaan kerana bimbang strategi dan pelaksanaan pelancongan negara tidak dapat diterima oleh pemimpin di lima kerajaan negeri tersebut.
Kerajaan pusat akan tetap salurkan peruntukan kepada negeri-negeri itu dan kementerian juga mengarahkan penubuhan jawatankuasa baru dalam Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) bagi memantau aktiviti pelancongan.
"Kita tetap akan memberi peruntukkan pelancongan yang telah ditetapkan bagi kelima-lima negeri tersebut walaupun MOU tersebut dibatalkan."
"Saya ingin menegaskan sekali lagi di sini, kerajaan pusat dan pihak kementerian tidak akan membatalkan apa-apa projek pelancongan yang telah dirancang pada tahun ini," kata Azalina
Beliau juga menyifatkan, komen kedua pemimpin pembangkang itu sebagai satu yang tidak adil kerana mereka tidak memahami polisi serta prosedur kerajaan pusat.
"Dan saya rasa kedua, Ketua Menteri dan Menteri Besar tersebut tidak faham akan prosedur serta polisi kerajaan pusat," ujar beliau.
Sementara itu, menurut Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr Victor Wee perutukkan belanjawan Program Citrawarna & Citarasa Malaysia pada tahun 2008 telah meningkat ke RM8 billion berbanding RM7.14 billion pada tahun lalu.
Menurut Victor tersebut adalah selaras dengan peruntukkan yang telah diputuskan dalam RMK-9.
Katanya, perlu ada keseimbangan dalam penganjuran aktiviti pelancongan di semua negeri dan tidak tertumpu kepada negeri-negeri tertentu sahaja.
"Keseimbangan tersebut penting kerana sektor pelancongan merupakan sektor kedua terbesar yang menyumbang kepada pendapatan negara," kata Victor.
Dan keseimbangan ini perlu wujud di antara pihak kementerian dengan pengusaha indsutri pelancongan.
Menurut beliau, langkah tersebut penting bagi mempromosikan penggunaan barangan buatan Malaysia di semua sektor kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan di dalam dan luar negara.
Sementara itu, Azalina berkata mulai tahun ini Kementerian Pelancongan mengambil langkah untuk menggabungkan nama kedua-dua festival itu kepada Citrarasa dan Citrawarna Malaysia 2008 bagi mempromosikan festival itu ke peringkat global.
Dengan tema "Meraikan Ulangtahun ke-50 Penubuhan Negara Suatu Perayaan Emas", perayaan itu akan diperluaskan ke Melaka, Johor, Pahang, Terengganu dan Kota Kinabalu melalui pelbagai acara menarik mulai 31 Mei hingga 22 Jun, katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan