HALAMAN SANTAI

Selasa, 8 April 2008

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pahang letak jawatan


KUANTAN: Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pahang berkuat kuasa serta merta.

Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Paya Besar berkata surat peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar melalui faksimile pada pukul 11 pagi, Selasa.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada sebarang respon diterima setakat ini daripada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga pengerusi Perhubungan Umno Negeri berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Ahmad Tajuddin berkata peletakan jawatannya itu adalah selari dengan pendiriannya yang meminta Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno bertanggungjawab terhadap pencapaian buruk parti itu pada pilihan raya umum lepas dengan meletakkan jawatan masingmasing.

"Saya merupakan pemimpin rantaian daripada MT sedia ada, jadi biarlah saya bertanggungjawab dengan meletak jawatan dulu," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ahmad Tajuddin yang memegang jawatan itu sejak 1999 berkata peletakan jawatannya juga tidak didorong oleh tekanan daripada sebarang pihak.

Beliau turut menafikan faktor kekecewaan kerana tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum lepas sebagai punca tindakan itu, malah beliau menegaskan ia berikutan rasa bertanggungjawab.

"Kita juga perlu bertanggungjawab atas pencapaian ini bukan dihala pada presiden parti sematamata, MT juga perlu bertanggungjawab," katanya.

Pada Jumaat lepas, Ahmad Tajuddin meminta semua anggota MT agar melepaskan jawatan sejajar dengan Fasal 9.11 Perlembagaan Umno iaitu jika semua ahli MT berhenti serentak maka Pengerusi Tetap atau timbalannya perlu mengadakan Perhimpunan Agung Khas bagi menubuhkan semula MT dalam tempoh tidak lebih dari 60 hari.

Bagaimanapun semalam, Adnan mengumumkan tiada tindakan akan diambil terhadap beliau berdasarkan kenyataannya adalah atas kapasiti sendiri dan bukan mewakili Umno negeri.

Ahmad Tajuddin berkata cadangannya turut mendapat sokongan banyak pihak apabila menerima lebih 1,800 Khidmat Pesanan Ringkas (SMs) termasuk daripada ketua-ketua jabatan kerajaan.

Ditanya sama ada Umno bahagiannya akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), beliau berkata ia tidak akan diadakan kecuali atas desakan anggota Umno bahagian itu. BERNAMA

Tiada ulasan: