Perak semak semula perletakan jawatan 726 Ketua Kampung
IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan meneliti semula peletakan jawatan oleh 726 ketua kampung di negeri ini baru-baru ini kerana ia menimbulkan beberapa keraguan dan dipercayai didorong oleh ugutan, paksaan dan tekanan oleh pihak tertentu.
Menteri Besar Mohammad Nizar Jamaluddin berkata untuk itu satu perjumpaan akan diadakan dengan semua ketua kampung terbabit selewat-lewatnya hujung minggu depan bagi membincangkan perkara terbabit.
Beliau berkata kerajaan negeri mengambil langkah itu ekoran menerima laporan terdapat ketua kampung yang didakwa terpaksa menandatangani surat peletakan jawatan itu selepas menerima ugutan dan ada surat peletakan jawatan yang mengandungi tandatangan palsu.
"Kalau mereka sukarela letak jawatan, kita terima dengan hati terbuka tetapi bila dua, tiga orang ketua kampung datang kepada saya dan semak (surat itu) mengakui bahawa mereka tidak pernah menandatangani dan seorang pula kata beliau tidak mahu tandatangan tetapi terpaksa tandatangan juga.
"Apabila berlaku seperti ini maka timbulkan rasa ragu-ragu yang memaksa kita membuka semula (surat peletakan jawatan) kerana mahu lihat adakah semua dokumen itu asli atau tidak," katanya kepada pemberita selepas majlis Kolokium Pertubuhan Islam Perak di sini hari ini.
Beliau berkata menerusi perjumpaan itu kerajaan negeri akan memberi kebebasan dan memastikan semua ketua kampung membuat keputusan meletakkan jawatan secara sukarela dan tanpa paksaan.
Mengenai dakwaan peniruan tandatangan pada surat peletakan jawatan itu, Mohammad Nizar berkata tindakan sewajarnya akan diambil kerana ia satu kesalahan jenayah dan boleh diambil tindakan undang-undang.
Isnin lepas, Pengerusi Persatuan Ketuaketua Kampung Perak Sukiman Jalil menyerahkan 726 surat peletakan jawatan itu berkuatkuasa 1 Mei ini kepada Menteri Besar di pejabatnya di sini. Perak mempunyai 814 ketua kampung semuanya.
Selain itu Mohammad Nizar berkata kerajaan negeri juga akan meneliti semula pelantikan amil kutipan zakat supaya pungutan zakat tahun ini lebih telus dan tidak berlakunya unsur-unsur penyelewengan.
Beliau berkata semakan itu akan dilakukan pada Ogos ini sebelum umat Islam menunaikan puasa di bulan Ramadan yang dijadual September.
"Lantikan amil-amil kutipan zakat adalah di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan ditauliahkan Sultan Perak," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan