HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 April 2008

Ramai sokong penubuhan suruhanjaya kehakiman
Oleh NORILA DAUD


KUALA LUMPUR – Cadangan penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman mendapat sokongan ramai dengan pelbagai pihak meminta saranan itu segera dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa dan ketidakadilan dalam sistem perundangan negara ini.

Presiden Transparency International Malaysia, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, kerajaan harus menubuhkan jawatankuasa teknikal terlebih dahulu bagi membuat kajian terperinci berkaitan syor membentuk suruhanjaya tersebut.

“Jawatankuasa itu boleh dipengerusikan oleh Peguam Negara serta dianggotai wakil-wakil kerajaan serta NGO,’’ katanya.

Ramon mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam mengenai saranan menubuhkan suruhanjaya itu bagi mengenal pasti dan mencadangkan calon-calon hakim kepada Perdana Menteri.

Beliau percaya suruhanjaya itu akan menjadi badan yang memantau dan menyeimbangkan kuasa institusi kehakiman negara yang mempunyai kebebasan tersendiri.

Menurutnya, penubuhan suruhanjaya itu akan memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat untuk melihat ketelusan dan keadilan dalam sistem kehakiman di negara ini.

Sementara itu, Pengerusi Biro Undang-Undang Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim berkata, walaupun badan kehakiman adalah institusi pemutus keadilan, namun hakim-hakim yang dilantik tidak mengatasi undang-undang dan tidak terkecuali daripada membuat kesilapan.

Menurutnya, hakim tidak diberi imuniti daripada dihukum atas kesalahan yang dilakukan, misalnya salah laku dan salah penghakiman.

“Oleh kerana suruhanjaya itu mempunyai kuasa untuk melantik, dengan itu ia seharusnya juga berkuasa untuk memecat hakim,’’ ujarnya.

Beliau menyarankan suruhanjaya itu dianggotai oleh bekas hakim, ahli akademik bidang perundangan, wakil-wakil masyarakat tanpa mengira ideologi, etnik dan jantina dengan jumlah yang seimbang dengan perwakilan rakyat. Bagaimanapun, Kamilia mencadangkan suruhanjaya itu tidak diberi kuasa untuk melantik hakim mahkamah tertinggi di negara ini.

Pemangku Presiden Parti Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon pula menyifatkan idea penubuhan suruhanjaya itu sebagai langkah tepat ke arah merubah sistem kehakiman negara secara menyeluruh.

Penubuhan suruhanjaya itu akan membuka ruang kepada perubahan lain yang turut membantu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem perundangan negara katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Koordinator Projek Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, rakyat memang mengharapkan sistem kehakiman negara mempunyai integriti dan mengamalkan ketelusan.

“Saya sokong dan setuju dengan cadangan penubuhan suruhanjaya itu asalkan hakim-hakim di mahkamah tidak ‘pilih kasih’ ketika menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

“Rakyat hendak melihat hukuman yang dijatuhkan oleh hakim-hakim berpaksikan kepada kebebasan yang dimilikinya dan bukan dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu,’’ ujarnya.

Menurut beliau, apa yang dicadang dan diharapkan oleh kerajaan untuk memulihkan sistem perundangan dan kehakiman negara perlu dibuktikan kepada rakyat.

Pergerakan Pemuda MCA pula menyambut baik rancangan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kerana langkah membawa pembaharuan terhadap badan kehakiman akan memperkukuhkan dan meningkatkan integriti institusi itu.

Ketuanya, Datuk Liow Tiong Lai berkata, sebagai tonggak demokrasi, badan kehakiman perlu memiliki kebebasan sepenuhnya dan terus menjadi pelindung hak semua rakyat di negara ini.

“Kami gembira apabila beliau (Abdullah) mencadangkan penubuhan suruhanjaya ini.
Pemuda MCA menyokong sepenuhnya komitmen kerajaan untuk membawa pembaharuan terhadap badan kehakiman,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat pergerakan itu di Wisma MCA di sini.

Tiada ulasan: