HALAMAN SANTAI

Sabtu, 19 April 2008

Tiga timbalan menteri baru dilantik
Oleh NIZAM HAMID


KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan pelantikan tiga timbalan menteri baru yang diisi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Muadzam Shah dari Pahang, Datuk Maznah Mazlan dan dua Ahli Parlimen dari Sabah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, beliau berkata, Maznah, 58, dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar menggantikan tempat Datuk Ghapur Salleh yang melepaskan jawatan itu pada 26 Mac lalu.

Dua lagi timbalan menteri baru dari Sabah ialah Datuk Abdul Rahim Bakri sebagai Timbalan Menteri Luar dan Datuk Seri Panglima Lajim Ukin sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan.

Perdana Menteri berkata, pelantikan tersebut berkuat kuasa selepas mereka mengangkat sumpah jawatan dan sumpah simpan rahsia di Istana Negara Rabu ini.

Menurut beliau, pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin mengikut Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan.

Abdul Rahim, 47, merupakan Ahli Parlimen Kudat manakala Lajim, 53, ialah Ahli Parlimen Beaufort.

Maznah pula ialah Ketua Wanita UMNO Pahang dan juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Pahang.

‘‘Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenankan pelantikan Maznah sebagai Ahli Dewan Negara. Beliau akan mengangkat sumpah dalam tempoh terdekat,” kata Perdana Menteri.

Difahamkan, Maznah mengisi kuota Pahang dalam pentadbiran kerajaan di samping mewakili Wanita UMNO. Pelantikan Abdul Rahim dan Lajim pula adalah untuk mengisi kuota Sabah selepas Ghapur, Ahli Parlimen Kalabakan dari Sabah, melepaskan jawatan timbalan menteri.

Ghapur memberi alasan tidak mahu terikat dengan pelbagai peraturan kerajaan sebaliknya beliau lebih selesa menjadi wakil rakyat biasa.

Sebelum ini seorang lagi Ahli Parlimen dari Sabah yang mewakili kawasan Kimanis, Datuk Anifah Aman tidak mahu menerima tawaran jawatan Timbalan Menteri Pengangkutan.

Ahli Parlimen Jerantut dari Pahang, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar pula menolak pelantikan sebagai Timbalan Menteri Luar.

Dalam perkembangan sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, portfolio Maznah dalam Kerajaan Negeri Pahang akan dikosongkan ekoran pelantikannya sebagai Senator untuk menjadi timbalan menteri.

Tiada ulasan: