HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 April 2008

RM6 billion lagi diperlukan untuk tingkatkan pengeluaran beras negara


JELI: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memerlukan sekurang-kurangnya RM6 billion sebagai peruntukan tambahan bagi menjamin peningkatan pengeluaran beras untuk keperluan tempatan.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed berkata peruntukan itu bagi membolehkan kementerian itu membaiki sistem pengairan, meningkatkan infrastruktur pertanian dan membangunkan kawasan penanaman padi yang baru seperti di Pahang, Sabah dan Sarawak.

"Kabinet telah pun mengarahkan kementerian mengemukakan cadangan bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran beras negara dan kita mencadangkan peruntukan tambahan sebanyak RM6 bilion ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat.

Mustapa berkata peruntukan tambahan itu sangat perlu untuk membaiki prasarana di dua tempat utama pengeluaran beras negara iaitu di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Kelantan dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) di Kedah.

Sebanyak RM923 juta diperuntukkan kepada kementerian itu tahun ini bagi membantu petani meningkatkan hasil pertanian mereka.

"RM923 juta ini bukan satu angka yang kecil dan ini membuktikan komitmen kita membantu petani dalam menambah pendapatan dan pada masa yang sama meningkatkan pengeluaran pertanian negara," katanya.

Mustapa berkata sasaran untuk meningkatkan pengeluaran beras negara kepada 90 peratus daripada 70 peratus mungkin tidak tercapai sepenuhnya berikutan masalah tanah dan bencana alam yang sering dialami negara.

Beliau juga memberi jaminan kepada petani di lima negeri yang kini diperintah pembangkang bahawa mereka akan terus dibantu termasuk dalam pemberian baja, benih dan racun subsidi.

Katanya tidak ada sebab kementerian perlu menganaktirikan petani di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor yang turut menyumbangkan hasil untuk negara.

"Kita akan bagi semua ini tanpa mengira fahaman politik dan mereka tetap mendapat hak yang sama walaupun berada di negeri pembangkang," katanya.

Mustapa, yang juga Anggota Parlimen Jeli, turut mengulas kes rogol dan bunuh seorang pelajar di sini pada Sabtu lalu, dengan mencadangkan agar semua pelajar yang tinggal di pedalaman daerah itu ditempatkan di asrama sekolah berdekatan bagi mengelak kejadian serupa.

Nurul Anira Che Rosik, 17, dirogol dan dibunuh di satu kawasan semak ketika pulang berseorangan daripada menghadiri kelas tambahan.

"Sebelum ini, asrama hanya untuk pelajar cemerlang tetapi ekoran kejadian yang menyedihkan ini, syarat ini perlu ditukar," kata Mustapa.

Khamis lalu, seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Tiada ulasan: