Syarikat pemasang CCTV di KLIA mesti bertanggungjawab jika alat tak berfungsi: Tee Keat
KUALA LUMPUR: Syarikat pemasang kamera televisyen sirkit tertutup (CCTV) di Lapangan Terbang Antarabangsa KL mesti bertanggungjawab jika alat berkenaan didapati tidak beroperasi semasa berlaku rompakan melibatkan S$1.5 juta (RM3.5 juta) Rabu lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Kiat.
Beliau berkata: "Kelengkapan dan alat-alat yang dipasang bagi tujuan keselamatan mestilah berfungsi sepanjang masa dan memenuhi standard antarabangsa".
Namun, menteri itu berkata beliau akan mendapatkan penjelasan dari pihak berkenaan sebelum mengambil sebarang tindakan, katanya kepada pemberita selepas melancarkan produk, Virgin Dtox London, sejenis rumusan organik dan semula jadi bagi menghapus toksik badan di sini, Jumaat.
Tee Keat mengulas laporan media yang menyebut bahawa kamera CCTV di kawasan kejadian, iaitu di luar dewan berlepas di Aras 5 tidak merakamkan rompakan itu.
Dalam kejadian 7.30 malam Rabu lepas, lima orang termasuk seorang anggota polis, cedera dalam kejadian tembak menembak antara beberapa orang perompak bersenjata dengan pengawal bagi dua orang pengurup wang.
Dalam kejadian itu, perompak melarikan sejumlah S$1.5 juta (RM3.3 juta) dari pengurup itu di luar dewan berlepas.
Tee Keat bagaimanapun berkata, tidak wajar membuat sebarang spekulasi buat masa ini oleh kerana polis masih menyiasat kes itu. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan