Rombakan kecil kabinet Sarawak dijangka bulan depan
KUCHING: Satu rombakan kecil akan dibuat dalam kabinet Negeri Sarawak tidak lama lagi sejajar dengan hasrat kerajaan mendapatkan lebih banyak idea baru daripada wakil rakyat muda yang menang pada pilihan raya negeri 2006.
Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata setakat ini semua jawatan kabinet negeri sudah diisi namun beliau membayangkan beberapa muka baru akan ditampilkan pada rombakan kecil itu nanti.
Beliau berkata ia adalah satu proses pembaharuan bagi kabinet kerajaan negeri, namun setakat ini beliau masih merahsiakan namanama mereka yang terlibat.
Ditanya sekiranya rombakan akan dibuat sebelum Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) awal Mei ini (5 hingga 14 Mei) Taib berkata "rahsia, tengoklah, selepas DUN".
Bercakap kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini, beliau berkata rombakan kecil itu tidak akan dilakukan dalam tempoh masa terdekat kerana ia masih lagi di peringkat kajian dan pemerhatian.
Pada 26 Mac 2006 seramai 24 Menteri dan Menteri Muda Sarawak mengangkat sumpah jawatan masing-masing dan sebahagian besar daripada mereka mengekalkan jawatan yang disandang sebelum pilihan raya negeri.
Selepas pilihan raya negeri 2006 tiga menteri muda Sarawak terkeluar dari senarai kabinet apabila dua daripadanya iaitu bekas Menteri Muda Pembangunan Bandar Datuk Alfred Yap dan bekas Menteri Muda Kebudayaan dan Urbanisasi Datuk Sim Kheng Hui tewas kepada pembangkang, manakala bekas Menteri Muda Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Datuk Sharifah Mordiah Tuanku Fauzi tidak bertanding. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan