HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 April 2008

Seorang lagi wakil rakyat DAP Perak ditawar RM80 juta untuk keluar parti


IPOH: Seorang lagi wakil rakyat dari DAP hari ini membuat laporan polis mendakwa telah ditawarkan sehingga RM80 juta oleh pihak tertentu untuk keluar dari parti itu dan menyertai manamana parti komponen Barisan Nasional (BN).

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Buntong, A Sivasubramaniam, yang mendakwa menerima SMS dan panggilan telefon daripada beberapa individu yang menawarkan wang tunai sehingga RM80 juta dan jawatan exco kerajaan negeri Perak jika memasuki parti komponen BN, membuat laporan itu di Balai Polis Buntong tengah hari tadi.

Pada 1 April lepas, Sivasubramaniam telah mengumumkan untuk keluar daripada DAP kerana tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi barisan Exco kerajaan campuran Perak.

"Saya menerima SMS dan panggilan itu sejak 5 April lepas selain pernah didatangi beberapa individu pada 29 Mac lepas yang memperkenalkan diri mereka daripada Umno dengan menawarkan imbuhan RM10 juta dan tawaran jawatan Exco," katanya.

Sivasubramaniam berkata beliau tidak sesekali akan menerima tawaran itu kerana setia kepada DAP.

"Saya kenal siapa mereka yang menawarkan rasuah itu, tapi saya serahkan kepada polis menjalankan siasatan dan bersedia memberi kerjasama jika diperlukan," katanya.

Pada Ahad lepas seorang lagi wakil rakyat DAP iaitu Adun Tronoh, V Sivakumar membuat laporan polis selepas mendakwa ada pihak membuat tawaran RM65 juta supaya beliau meninggalkan parti itu dan menyertai parti komponen BN. BERNAMA

Tiada ulasan: